Categories: Oh Lawa

Freckles Dulunya Dianggap Hodoh Tetapi Kini Jadi Kegilaan Dalam Solekan

Kalau dulu kewujudan jeragat atau freckles pada wajah dianggap sebagai salah satu bentuk ketidaksempurnaan. Kini bintik-bintik tersebut memiliki daya tarikan tersendiri bagi para wanita.

Hal ini dibuktikan melalui trend makeup faux freckles yang diminati hingga sekarang. Bahkan ada wanita yang rela melakukan tatu freckles agar tidak perlu bersusah-payah melukisnya dengan makeup.

Mengapa solekan sebegini digilai? Salah satu sebabnya, ia dianggap sebagai kecantikan semulajadi dan unik selain mengubah wajah anda menjadi persis anak peranakan atau kacukan.

Foto: YouTube

Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil atau lebih dikenali sebagai Alha Alfa berkata tidak salah untuk mencuba gaya solekan yang memiliki unsur dari negara Barat ini. Namun individu yang ingin mengenakan solekan tersebut perlu menitikberatkan kesesuaian wajahnya. 

“Tidak lama dulu wanita cenderung mengenakan solekan tebal. Namun kini senarionya mula berubah apabila mereka lebih terarah kepada solekan natural. Freckles adalah tompokan jeragat kecil yang diwarisi secara genetik.

Foto: L’Oreal Paris

“Solekan sebegini adalah ilusi kepada natural look. Namun bukan semua wanita sesuai menggayakan jenis solekan seperti ini terutamanya bagi mereka yang keMelayuan,” katanya.

Kata Alha, solekan jenis ini juga memerlukan teknik yang betul untuk dihasilkan kerana ia bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan ketelitian.

“Jika tersilap placing jeragat palsu itu akan kelihatan seperti tahi lalat,” katanya.

Foto: youtube.com

Yanie Baharom