Seringkali diusik dengan soalan cepumas mengenai jodohnya, pelakon dan penyanyi, Kaka Azraff tidak gusar dan akui lebih selesa hidup solo. Tambahnya, dia bebas dalam mengorak langkah dalam kerjaya muzik, tanpa pedulikan perasaan orang lain.

Tidak dinafikan sesekali datang perasaan bimbang belum bertemu jodoh apabila kebanyakan rakan sebayanya sudah ke jinjang pelamin. Bagaimanapun, Kaka akur tidak adil kepada pasangannya jika terpaksa bersendirian kerana dia sentiasa sibuk dan tidak mempunyai masa untuk diluangkan bersama.

“Melihat rakan sebaya bahagia dengan pasangan mereka, terdetik juga keinginan untuk ke jenjang pelamin. Saya masih lagi mencari lelaki yang memahami dan menerima saya yang sentiasa sibuk dengan kerjaya.

“Tidak adil rasanya kepada pasangan sekiranya saya sibuk dengan urusan sendiri. Buat masa ini, lebih baik saya fokuskan kepada kerjaya. Lebih seronok begini kerana saya bebas bekerja apabila tiada hati yang perlu dijaga.

“Secara jujur, saya sudah penat menjaga hati orang lain. Untuk sementara waktu, lebih baik saya bangunkan kerjaya sendiri, apatah lagi, jadual saya semakin padat sejak muncul dengan single baharu, Sibuk.” Katanya

Pelakon drama Inai Yang Hilang itu walau bagaimanapun bersyukur kerana mempunyai ahli keluarga yang memahami dan tidak mendesaknya untuk menamatkan zaman bujang.

Kemunculan single terbaharunya, Sibuk membuatkan jadual Kaka Azraff begitu padat. 

“Sebelum ini, saya pernah muncul dengan lagu Terima Kasih dan Bukan Hal Aku, tetapi Sibuk lebih mengetengahkan muzik yang mencerminkan identiti sebenar diri. Saya mahu peminat mengenali Kaka Azraff menerusi identiti muzik ini.” Kata penyanyi itu

Pada masa yang sama, Kaka berhasrat untuk membawa Sibuk ke negara lain memandangkan lagu tersebut mendapat sambutan positif dari peminat Indonesia dan juga Filipina.

“Saya mahu melangkah jauh dalam industri muzik. Tidak hanya dikenali di negara sendiri, saya juga mahu melihat lagu saya mendapat tempat di negara asing. Saya berusaha keras untuk meletakkan diri ke tahap itu.

“Melihat kepada sambutan di Indonesia dan Filipina yang agak positif, saya berharap usaha dapat dibuat untuk mempromosikan lagu saya di sana nanti.” Jelasnya

Apapun, lagu Sibuk memang cool untuk didengar berulang kali, siapa setuju kita geng!

Ad Ops