Categories: Oh Lawa

Konsep Fairy Forest jadi daya penarik kolaborasi Elfira Loy X MC Vogue

Potongan kurung moden masih lagi diterima ramai dan ia diberi sentuhan lebih segar oleh MC Vogue yang mengadakan kolaborasi bersama artis penggiat sosial media berpengaruh, Elfira Loy.

Berkonsepkan pakaian moden untuk  wanita yang menitik beratkan cita rasa dengan nuansa sopan, anggun dan kekal bergaya, tidak hairan jenama MC Vogue ini sudah mampu membina kelompok aliran pengikutnya sendiri yang sentiasa mempercayai kualiti jahitannya.

Malah nama MC itu sendiri sebenarnya merupakan akronim kepada Muslimah Collection dan diusahakan oleh pasangan suami isteri, Teff dan May sejak  2012 serta kini memiliki lebih 20 cawangan di seluruh Negara.

Kolaborasi Elfira Loy X MC Vogue dihadirkan dalam empat rekaan unik untuk Hari Raya Aidilfitri, sekali gus melambangkan sentuhan feminin dan elegan yang sering menjadi pilihan Elfira.

Elfira menggayakan pakaian berkonsep Fairy Forest hasil kolaborasi dengan MC Vogue. Foto: Ihsan MC Vogue.

Hasil cetusan idea Elfira dan sentuhan kreativiti pereka pakaian MC Vogue sendiri, koleksi ini  ternyata menyerlahkan gaya dan karakter wanita yang baru bergelar isteri kepada Muhammad Faris Khairol Anuar sejak awal ahun ini.

Gaya minimalis yang diserlahkan pelakon berkenaan juga memberi inspirasi kepada pihak MC Vogue untuk menampilkan kolaborasi unik dengan konsep ‘Fairy Forest.’

Koleksi ini menggunakan fabrik rona lembut, sejuk, berbulu, manik  berkilauan dan ditawarkan pada harga RM299 sepasang, juga sangat mampu milik.

Elfira berkata, kolaborasi ini adalah yang pertama diadakan dengan jenama fesyen MC Vogue kerana jenama berkenaan menawarkan koleksi pakaian mereka pada harga berpatutan kepada ramai orang.

Foto: Ihsan MC Vogue.

“Saya harap kerjasama ini akan dapat menarik minat ramai orang untuk bergaya lebih tetapi dengan harga yang berpatutan. Pendek kata ia memang mampu dimiliki semua golongan wanita,” katanya.

Pelakon drama Qaleesya ini sendiri sebenarnya ialah pelanggan setia MC Vogue kerana harganya amat berpatutan.

“Butik MC Vogue memang antara destinasi pilihan saya setiap kali membeli belah. Memang berbaloi. Tidak sangka MC Vogue mahu mengadakan kolaborasi, memang terkejut pada awalnya, tapi saya bersyukur kerana menjadi pilihan mereka.

“MC Vogue mempunyai deretan perekanya sendiri, tapi kami masih berbincang untuk satu aliran yang sama. Kolaborasi ini untuk musim raya saja, tapi saya optimis dan yakin rekaannya yang tidak terlalu rumit dan tidak berlebihan menjadikan ia tidak dimamah usia,” katanya.

kolaborasi ini menyaksikan empat rekaan di mana setiap satunya mempunyai tiga warna dan terdiri daripada saiz S, M dan L.

Barisan model menggayakan koleksi Fairy Forest hasil kolaborasi Elfira Loy X MC Vogue. Foto: Ihsan MC Vogue.

Shaidah Shafie