Categories: Oh Lawa

Majalah Vogue Sekat Pembabitan Model Bawah 18 Tahun Menghiasi Majalah Itu

Kembali pada topik Februari tahun ini, majalah fesyen paling berpengaruh di dunia, Vogue mengumumkan tiada lagi pembabitan model di bawah umur 18 tahun.

Pihak Vogue sudahpun menjelaskan pendirian mereka melaksanakan keputusan itu yang berkuat kuasa beberapa bulan lalu sebagai garis panduan baru bahagian penerbitan majalah berkenaan.

“Pada awal tahun ini, selepas pengumuman #MeToo, Condé Nast, penerbit majalah ini termasuk yang lainnya, mengeluarkan kod etika vendor global baru.”

“Ia sebagai maklum balas kami terhadap isu yang berbangkit di mana model lelaki dan wanita bersentuhan pada bahagian yang tidak sepatutnya, ditekan untuk nikmat seksual dan juga terdapat unsur gangguan seksual, sehingga menggesa Condé Nast menetapkan peruntukan yang bertujuan untuk memastikan bahawa semua pucuk editorialnya menyediakan ruang kerja yang selamat.

“Iaitu zon bebas gangguan dengan bilik persalinan dan ruang persendirian untuk kegunaan model menukar persalinan pakaian mereka,” jelas wakil editorial majalah itu.

Penerbitan itu menyatakan bahawa pergerakan #MeToo yang mewujudkan kod tingkah laku baru adalah untuk memelihara imej dunia pemodelan dan fesyen secara keseluruhannya.

Foto: tn.com.ar

Foto: hollywoodlife.com

Foto: YouTube

“Satu lagi perbincangan membahas isu model dan usia mereka, bagi melindungi hak remaja yang tidak sepatutnya dikerah bekerja sekaligus mengelakkan penyalahgunaan kuasa pihak agensi yang menekan model mereka di mana hal terlalu biasa berlaku.

“Justeru kod perilaku vendor menetapkan bahawa tiada model di bawah umur 18 tahun akan menghiasi penerbitan majalah ini (melainkan jika mereka adalah subjek artikel, dalam hal ini model akan mempunyai pengiring dan digayakan mengikut gaya bersesuaian usia mereka),”

“Tidak ada lagi pertikaian ini tidak sesuai untuk kita, tidak sesuai untuk pembaca kita, dan tidak sesuai untuk model-model muda bersaing menempatkan diri di halaman majalah kami. Meski kita tidak boleh memadam semula kesilapan masa lalu, kita boleh memberikan komitmen untuk kehidupan yang lebih baik,” menurut wakil majalah itu lagi. 

“Usia model hanyalah salah satu komponen namun ia topik perbualan yang sangat besar,” kata pereka fesyen terkenal, Stella McCartney.

“Jika anda mempunyai perniagaan dan menggaji orang, anda perlu mempertimbangkan kondisi kakitangan anda sepanjang tempoh pekerjaan. Dunia fesyen tidak memikirkan soal itu.”

Victoria Secret Angel, Karlie Kloss percaya bahawa perubahan baru berlaku dalam dunia pemodelan.

“Apabila saya memulakan kerjaya sebagai model, saya berusia 15 tahun ketika itu. Saya mungkin  matang pada usia saya tetapi hakikatnya saya baru 15 tahun,” katanya.

“Sepanjang 10 tahun saya berada dalam industri, saya telah berubah. Tubuh saya berubah seperti mana wanita lain dan fikiran saya juga telah berkembang.”

Sumber: Tribune

Yanie Baharom