Categories: Oh Lawa

Tiada cecair pencuci berus mekap? Bancuh sendiri dengan teknik DIY ini

Pemakaian mekap ternyata lebih mudah dengan adanya berus dan span yang direka khas untuk solekan. Tetapi selepas menggunakan alat ini, jangan lupa untuk mencucinya!

Jika tidak, bakteria boleh membiak pada bahagian berus atau span yang kotor. Apabila diguna tanpa membersihkannya terlebih dahulu, ini bermakna anda menyapu bakteria pada kulit anda. Eww!

Oleh itu, amat penting untuk anda mencuci berus dan span sekerap yang mungkin. Tetapi jangan guna air paip sahaja, sebaliknya anda juga memerlukan sabun apabila mencuci span atau berus.

Di pasaran kini ada pelbagai jenama sabun pencuci berus mekap, namun cari produk yang mempunyai bahan membasmi bakteria.

Bagi yang inginkan pilihan yang lebih murah, anda boleh bancuh sendiri cecair pencuci ini dengan menggunakan ramuan yang mudah didapati dan tidak memerlukan bahan kimia yang rumit!

Ingin cuba? Di bawah ini, ada dua jenis rumusan pencuci yang boleh dibuat sendiri seperti yang dikongsi oleh Seventeen.

Minyak zaitun + sabun cuci pinggan

Foto: PrettyGossip.com

Hanya sediakan minyak zaitun dan sabun cuci pinggan dengan jumlah yang sama rata. Kemudian, masukkan kedua-duanya ke dalam satu mangkuk dan cuci berus serta span di dalamnya.

Ada juga yang mencadangkan supaya menambahkan satu lagi ramuan, iaitu cuka. Baunya mungkin tidak harum, tetapi cecair ini memang bagus untuk membunuh kuman dan teksturnya lebih lembut daripada peluntur.

Syampu bayi

Hanya satu ramuan diperlukan dan ia memang murah. Campur sedikit dengan air, dan anda sudah boleh mula mencuci.

Memandangkan formulanya direka khas untuk membersihkan kulit bayi yang amat halus, tiada masalah untuk anda mencuci berus mekap tanpa merosakkan bulu-bulunya yang lembut dan halus.

Selamat mencuba!

Ad Ops