Categories: FeaturedGaya Hidup

‘Barbie Doll’ bola tampar Kazakhstan, sandang gelaran atlet paling cantik di dunia!

Bayangkan anda sedang menyaksikan perlawanan bola tampar, di tengah-tengah gelanggang berdiri seorang pemain wanita saling tidak tumpah seperti ‘Barbie Doll’ dengan sosok tubuh tinggi lampai dan menggiurkan sedang melakukan pukulan servis.

Agak-agaknya anda masih dapat memberi fokus pada perlawanan atau mata ‘terganggu’ dengan kejelitaan pemain tadi?

Penulis yakin sebahagian penonton terutama lelaki pasti terpukau kepada Tatyana Demyanova, wanita jelita yang juga atlet bola tampar mewakili negara Kazakhstan itu.

Masakan tidak, dengan raut wajah sempurna, bermata bundar, hidung mancung, bibir mungil, tubuh tinggi lampai dan rambut hitam pekat, siapa mampu mengalih pandangan daripadanya. Bahkan kisah kecantikan atlet berusia 23 tahun itu, sudah merebak hingga seluruh dunia.

Memetik laporan media antarabangsa, Tatyana yang berketinggian 180 sentimeter mula didedahkan dengan sukan bola tampar oleh ibunya yang juga jurulatih sukan berkenaan.

Waktu itu, beliau hanya berusia sembilan tahun dan meraih pingat pertamanya ketika mencecah umur 11 tahun. Jelas terbukti gadis cantik ini berbakat dalam arena sukan berkenaan dan mewarisi kemahiran ibu tersayang. Meskipun berwajah lembut dan perwatakan anggun, Tatyana sebenarnya seorang wanita berjiwa lasak.

Sebati dengan sukan dan sukakan cabaran, beliau tidak melepaskan peluang menceburi sukan seni bela diri. Selain tinju, Tatyana turut menggemari Muay Thai dan mengagumi tokoh sukan tinju terkemuka iaitu Floyd Mayweather.

Mengintai laman Instagram Tatyana, atlet bualan ramai ini mempunyai hampir 80,000 pengikut di media sosial. Daripada hantaran yang dikongsikan, terserlah minat Tatyana terhadap kecantikan di samping berani bereksperimen dengan fesyen. Bersandarkan susuk tubuh montok yang dimiliki, tidak hairanlah dia sering tampil dengan gaya seksi.

Hasil kaji selidik yang dijalankan beberapa portal ternama dunia termasuk Express Sport dan Daily Star, mereka sebulat suara menyatakan Tatyana Demyanova merupakan atlet paling cantik di dunia!

Setuju atau tidak? Yang pasti Tatyana memang cantik sangat!

Yanie Baharom