Categories: TECH

Aplikasi Ditutup Sementara…Sistem Pos Malaysia Digodam?

Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) terpaksa menutup beberapa sistem dan aplikasi perkhidmatan dalam talian milik syarikat itu susulan masalah teknikal dihadapi sejak semalam.

Menerusi satu kenyataan hari ini, pihaknya mengenal pasti terdapat beberapa sistem dalaman kendaliannya yang berisiko mengalami masalah teknikal.

Susulan itu, Pos Malaysia terpaksa mengambil langkah proaktif dengan menutup sistem serta aplikasi berkenaan bagi menangani masalah terbabit dengan segera.

“Pos Malaysia mengalami masalah teknikal luar jangka yang menyebabkan sistem tergendala sementara.

“Langkah proaktif sudah diambil dengan menutup beberapa sistem dan aplikasi, kami memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul,” katanya.

Difahamkan, susulan gangguan sistem itu, satu laporan polis turut dibuat wakil Pos Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi semalam.

Dipercayai bahawa laporan itu dibuat berikutan kemungkinan wujudnya unsur mengaitkan masalah sistem itu dengan tindakan digodam.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Azizan Abu Taat mengesahkan ada menerima laporan mengenai gangguan teknikal berkenaan.

Menurutnya, kes itu dirujuk kepada CyberSecurity Malaysia untuk siasatan lanjut bagi menentukan punca sebenar gangguan teknikal dialami syarikat terbabit.-Harian Metro.

SGMS Faida