Categories: Trending

Abang Tesla Didakwa Dapat Tajaan Tunai Umrah Bersama Isteri-Isteri, Pihak Syarikat Pelancongan Beri Kenyataan

Pempengaruh Abang Tesla sekali lagi meraih tumpuan dalam kalangan netizen susulan timbul dakwaan yang menyatakan dia pergi menunaikan umrah bersama isteri-isterinya atas tajaan syarikat pelancongan, Andalusia Travel & Tours.

Susulan laporan yang tular di media sosial itu, pihak syarikat pelancongan itu tampil menafikan segala dakwaan yang diperkatakan oleh netizen dalam sebuah kenyataan.

“Merujuk kepada laporang yang tular di media sosial. Syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd sebagai penyedia perkhidmatan umrah ingin menafikan dakwaan bahawa kami telah menaja umrah Abang Tesla dan rombongannya.

“Dakwaan ini adalah tidak benar. Abang Tesla dan keluarganya membayar sepenuhnya kos percutian dan umrah (Pakej Umrah Ziarah Istanbul Bursa) mereka sendiri,” katanya.

Menurut Pengurusan Tertinggi syarikat itu, mereka hanya menyediakan perkhidmatan pakej umrah ziarah kepada pelanggan mereka.

Pihak Andalusia turut berharap agar orang ramai tidak menimbulkan sebarang dakwaan yang tidak tepat bagi mengelakkan kekeliruan.

“Kami hanya menyediakan perkhidmatan pakej umrah ziarah kepada pelanggan kami yang ingin menunaikan umrah.

“Kami berharap dakwaan ini akan dapat dihentikan dan kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang timbul. Sekian, terima kasih,” jelasnya.

Fatin Nurain