Categories: Trending

ABPBH 35: Hawa Rizwana Sebaris Pengacara Hebat, Terharu Sokongan Peminat – “Sebelum Ni Saya Pergi Sebagai Wartawan…”

Pengacara dan personaliti TV Hawa Rizwana mengakui teruja apabila namanya tercalon dalam kelompok Top 5 menerusi Pengacara TV Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35.

Berkongsi keterujaan itu, Hawa atau nama sebenarnya, Hawa Rizwana Ahmad Rezuan berkata, dia bersyukur dan bangga apabila namanya sebaris dengan pengacara-pengacara hebat yang turut tercalon.

“Alhamdulillah, saya dapat tahu pun dari peminat saya sendiri, mereka ucap tahniah saya tercalon Top 5, saya tak percaya ketika itu. Sekali memang betul, bersama dengan orang yang saya idolakan dan rujuk.

“Mereka sangat hebat dan berbakat, saya bersyukur sangat dan bangga dalam satu kategori bersama mereka. Syukur sangat,” katanya ketika dihubungi.

Terharu dengan sokongan yang diberikan peminat sejak bertugas sebagai wartawan, Hawa akui ia sebuah pengalaman yang berbeza dalam kariernya selepas bertapak dalam industri hiburan.

“Sememangnya saya terharu sebab saya sangat sayangkan mereka, mereka bersama saya dan beri sokongan dari mula saya berkerja sebagai wartawan lagi.

“Saya juga baru sahaja mulakan karier mengacara pada sekitar tahun 2020 dan pengacara hiburan pada tahun lepas. Ia sebuah pengalaman yang berbeza tetapi peminat sentiasa sokong apa yang saya lakukan.

“Saya rasa saya tak akan berada di sini tanpa sokongan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, bekas personaliti TV TV3  ini turut berasa teruja apabila bakal hadir ke malam kemuncak ABPBH 35 sebagai calon.

“Mereka seorang yang versatil dan juga sudah lama dalam industri. Untuk berada sebaris bersama mereka, saya bertuah sangat.

“Semua yang tercalon adalah hebat, masing-masing ada kekuatan tersendiri, peminat juga sedikit sebanyak memberi kelebihan.

“Saya mahu ‘enjoy’ sahaja, ia pertama kali saya sebagai calon sebab sebelum ini saya pergi sebagai wartawan. Kali ini ada rezeki saya untuk hadir sebagai calon dan ambil peluang untuk raikan bersama,” kongsinya teruja.

Bertemakan Ekspresi Legasi Seni, ABPBH 35 disiarkan secara langsung dari Istana Budaya, Kuala Lumpur mulai jam 9 malam dan karpet merah ABPBH 35 jam 8 malam di TV3 dan strim langsung melalui platform Tonton.

Khairil Khusyairi