Categories: Trending

Bakal Rehat Setahun Selepas Bersalin, Eyra Hazali Isi Masa Dengan Bisnes

Pelakon Eyra Hazali, 23, bakal mengambil cuti yang lebih panjang selepas melahirkan anak keduanya nanti.

Isteri kepada penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Haziq Nadzli ini mahu mengisi masa dengan ilmu perniagaan serta mahu kembali berlakon apabila sudah benar-benar bersedia.

“Buat masa sekarang, memang saya tidak terima apa-apa tawaran, perut sudah besar jadi selesa untuk berada di rumah selain menggunakan ruang ini untuk menyusun semula strategi perniagaan.

“Sebagai anak seni yang sudah sebati dengan bidang ini saya tidak akan tinggalkan bidang lakonan. Cuma memang selepas melahirkan anak nanti saya mahu berehat dahulu selama setahun.

“Saya mahu isi masa mempelajari selok belok dunia bisnes. Walaubagaimanapun, saya takkan tinggalkan dunia lakonan. Saya yakin dengan sokongan keluarga, saya akan kembali ke berlakon dalam keadaan yang cukup bersedia,” kata ibu kepada Muhammad Hayder Qhalish ini.

Pemilik nama penuh Hazirah Qasdina Hazali ini juga sedang berusaha memastikan perniagaan minyak wangi yang dimulakan dirinya sejak dua tahun lalu terus bergerak maju.

“Saya rasa cukup bertuah untuk diberikan kepercayaan pihak Nori Malaysia untuk muncul dengan wangian pilihan sendiri. Ini adalah langkah untuk saya serius dalam bisnes. Siapa sangka, selepas dua tahun, apa yang cukup membanggakan ketiga-tiga produk wangian di bawah jenama Eyra Hazali mendapat sambutan yang cukup baik.

“Buat masa ini saya sudah kenalkan empat wangian berbeza dengan tiga darinya menggunakan nama tiga kota terkenal. Bermula dengan wangian London, Barcelona, Qasdina dan Paris.

“Malah apa yang cukup saya bangga kini bagaimana wangian jenama saya kini juga sudah berada di rangkaian pasaraya Aeon di seluruh negara. Antaranya MidValley, Maluri Bukit Tinggi, Shah Alam, Cheras Selatan, Nilai dan banyak lagi.

“Selain itu, semua wangian saya juga boleh didapati di Wetex, Muar yang juga outlet Nori. Apa yang cukup membanggakan pada awal tahun ini juga wangian saya akan turut berada di 28 rangkaian Watson.

“Lebih penting sebagai orang muda saya juga senang untuk memastikan produk ini lebih mudah didapati secara atas talian. Selain melalui laman web Nori Malaysia sendiri, wangian saya juga boleh didapati melalui aplikasi membeli belah,” katanya.

Padin