Categories: Trending

Daging Dah Mula Mahal Di Kedah?

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake) Mohamad Yusrizal Yusof memaklumkan harga daging di negeri itu, di sesetengah tempat di negeri ini meningkat hingga mencecah RM36 sekilogram.

“ Ini membebankan pengguna,” katanya kepada salah sebuah portal tempatan.

Tambah beliau, antara harga tertinggi ialah di Sungai Tiang dan Paya Mat Inson di Pendang iaitu RM35 hingga RM36 sekilogram, berbanding harga biasa RM32 sekilogram.

Katanya, turut berlaku kenaikan ialah di Jalan Datuk Kumbar dan Jalan Hutan Kampung di daerah Kota Setar iaitu dari RM34 hingga RM35, termasuk juga di Kulim/Bandar Bharu dan Langkawi.

“Kita bertindak atas aduan diterima dan pemantauan bersama Gerakan Pemantau mendapati ada kawasan naik dan ada yang masih kekal pada RM30 hingga RM33 seperti di Pasar Besar Alor Setar. Dakwa peniaga mereka dapat lembu hidup dengan harga mahal,” katanya selepas mengadakan pemantauan harga barang sempena Ramadan di Pasar Besar Alor Setar, di sini, hari ini.

Beliau berkata, harga lembu hidup ketika ini turut naik mendadak hingga RM5,000 seekor berbanding RM4,000 seekor, ekoran daripada bekalan berkurangan. 

SGMS Faida