Categories: Ijab & KabulTrending

Dengan Sekali Lafaz, Intan Najuwa Bergelar Isteri Kepada Datuk Ahmad Azraf… Terima Hantaran Bernilai RM222,000

Pelakon Intan Najuwa telah menamatkan zaman bujangnya dengan jejaka pilihan hatinya iaitu Datuk Ahmad Azraf Azman, 39, dengan sekali lafaz kira-kira jam 6.45 petang tadi.

Intan atau pemilik nama Intan Najuwa Abd Wahid, 26, menerima mas kahwin berjumlah RM20,000 dan hantaran bernilai RM222,000 daripada pengantin lelaki. Sebagai simbolik, angka 2 menjadi pilihan sebagai lambang tempoh dua tahun perkenalan mereka.

Pasangan merpati dua sejoli ini dinikahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Dato Dr Hj Nooh Gadot.

Dalam majlis itu, Intan dan Datuk Ahmad Azraf mengenakan busana serba putih rekaan Fizi Woo yang bernilai RM40,000 bagi sesi pernikahan dan Teh Firdaus untuk acara bersanding serta potong kek dan ditatarias oleh, Dato Alha Alfa.

Majlis akad nikah yang eksklusif itu berlangsung di One & Only Resort, Desaru, Johor dan dimeriahkan oleh dengan kehadiran 150 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, teman rapat, selebriti dan pihak media yang bertemakan unsur alam.

Malah, tarikh pernikahan Intan hari ini iaitu tanggal 18 Ogos merupakan tarikh kelahirannya.

Majlis resepsi kedua bakal berlangsung di Rimbunan Event Space, Johor Bahru, malam esok dengan bertemakan tradisional.

Sehubungan itu, Intan menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada tetamu yang hadir pada hari bahagianya ini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur segalanya dipermudahkan dan berjalan dengan lancar. Doakan yang terbaik buat kami berdua dalam melayari rumah tangga. Walaupun sudah bergelar isteri, Intan akan terus menyambung karier lakonan serta mengutamakan juga pengajian Intan serta bisnes Intan sekarang. Intan juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat atas sokongan yang diberi seawal kerjaya Intan sehingga hari ini,” katanya.

Kredit Foto: cstproduction

Atiqah Johari