Categories: Trending

Dijangka Tempoh 3 Bulan Akan Datang Lebih Kritikal – Khairy

Tempoh tiga bulan akan datang akan menjadi tempoh yang sangat sibuk dan kritikal dalam pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri penyelarasnya, Khairy Jamaluddin berkata, ini susulan Malaysia akan menerima jumlah bekalan vaksin yang besar iaitu sebanyak 12 juta dos bermula Julai.
Perkara tersebut turut dikongsi beliau menerusi muat naik di laman Twitter miliknya sebentar tadi.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memaklumkan usaha giat kini sedang dilakukan bagi memastikan tempahan vaksin CanSino oleh Malaysia berupaya dihantar pada bulan ini.
Selain selamat dan berkesan, katanya, pelalian satu dos itu amat penting dalam memudahkan lagi usaha vaksinasi kepada masyarakat, terutama yang tinggal di pedalaman serta menghadapi kesukaran penghubungan.

“Vaksin CanSino ini akan digunakan kepada kumpulan pelarian yang turut sama divaksinasi bagi memastikan seramai mungkin individu mendapat perlindungan daripada jangkitan COVID-19,” katanya.

Menyentuh perkembangan Pelan Pemulihan Negara, kini usaha memberikan suntikan vaksin kepada 300,000 pekerja sektor pembuatan pengangkutan, pembinaan dan perladangan akan dipergiatkan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Salma Syahbuddin