Categories: Trending

Dr Noor Hisham Abdullah Dinobat Tokoh Maal Hijrah 1442H

Selepas kegigihan dan usaha keras beliau dalam membendung penularan wabak Covid-19 di Malaysia sehingga mendapat pengiktirafan dari luar negara maka, tidak hairanlah sekiranya Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H.

Pengumuman itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M di Masjid Negara, Kuala Lumpur,  pada Selasa.

” Pemilihan kedua-dua tokoh itu dibuat atas sumbangan besar mereka dalam memartabatkan Islam diperingkat global.

“Malah, kedua-duanya juga terbabit dan mendapat pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa,” Katanya.

Terharu dan teruja!

Tan Sri Dr Noor Hisham yang terharu dan teruja dengan penganugerahan ini turut menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan atas kurniaan anugerah itu.

“Sebagai seorang pakar bedah, saya mungkin boleh menyelamatkan satu nyawa pada satu masa. Tapi dalam pentadbiran iaitu kesihatan awam kalau perancangan betul, kita boleh menyelamatkan satu negara.

“Bekerjalah kita sebagai satu pasukan membantu negara kita. Kita jaga kita, kita jaga masyarakat kalau bukan kita yang mengawal pandemik ini siapa lagi. Insya-Allah kita akan menang,” katanya.

Selain itu, Syeikh Al-Azhar, Prof Dr Ahmad Tayyib juga diumumkan sebagai Tokoh Antarabangsa Maal Hijrah 1442H.

Apapun, kami di www.xtra.com.my ingin mengucapkan tahniah buat Tan Sr Dr Noor Hisham Abdullah diatas penganugerahan ini.

Salma Syahbuddin