Categories: Trending

Dua Kali Ditunda, Mencari Rahmat Akhirnya Bakal Menemui Penonton Jun Ini

Filem Mencari Rahmat yang sudah dua kali ditunda tayangannya sebelum ini akhirnya akan menemui penonton tidak lama lagi.

Penundaan tersebut dibuat memandangkan pawagam terpaksa ditutup bagi mengawal penularan pandemik Covid-19 malah, arahan juga turut dikeluarkan oleh pihak berkuasa agar semua pawagam di Malaysia di tutup.

“Setelah terpaksa ditunda sebanyak dua kali, ingin saya nyatakan bahawa tarikh baharu untuk tayangan filem Mencari Rahmat adalah pada 10 Jun ini.
“Kami juga telah menerima surat daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang memaklumkan tentang tarikh tayangan yang baru ini,” jelasnya menerusi satu kenyataan media.

Penerbitnya, Zuli Ismail berharap agar tayangan filem Mencari Rahmat tidak akan lagi ditunda tayangannya di pawagam kerana filem ini harus dipertontonkan kepada masyarakat khususnya di Malaysia.

“Saya percaya memang ramai yang menantikan tayangan filem ini, cuma apa yang berlaku sebelum ini adalah di luar kawalan kami.
“Jadi, saya seru kepada penonton supaya jangan lepaskan peluang menonton filem ini apabila ditayangkan di pawagam nanti,” jelasnya.

Filem Mencari Rahmat yang sepatutnya ditayangkan pada 18 Jun 2020 ini turut membariskan pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Nam Ron, Sharifah Amani, Amerul Affendi, Fauziah Nawi, Adibah Noor dan ramai lagi.

Jadi, kepada semua peminat filem tanah air jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Mencari Rahmat yang akan ditayangkan pada 10 Jun 2021 nanti okay!

Salma Syahbuddin