Categories: FeaturedTrending

Fasha Sandha Tidak Bersungguh Hendak Kahwin?

Tinggal beberapa minggu sahaja lagi menjelang majlis pernikahannya bersama-sama pelakon Aidil Aziz, aktres terkenal Fasha Sandha mengakui dirinya tidak terlalu bersungguh dalam melakukan persiapan perkahwinannya.

Ditebak sama ada perasaan itu wujud kerana ia merupakan perkahwinan keduanya, pelakon berusia 34 tahun itu ada jawapannya yang tersendiri.

“Bukan kurang teruja, tapi perasaan tidak beria sangat. Seorang ibu tunggal atau janda pasti akan merasai perasaan ini. Bila kahwin buat kali kedua, semua perkara akan lebih bersederhana,” ujarnya ketika ditemui pada sesi taklimat media bagi Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 di Balai Berita NSTP, Bangsar, baru-baru ini.

Foto: NSTP/Jim

Berkongsi mengenai persiapan majlis perkahwinannya, Fasha berkata, dia tidak dapat berkongsi lebih lanjut mengenai perkara itu kerana persiapan yang baru dilakukan tidak sampai 20 peratus sahaja.

Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu, segala persiapan dilakukan oleh dirinya sendiri bersama-sama pihak pengurusannya.

“Saya lebih banyak bersedia dari segi mental dan fizikal daripada memikirkan soal pengurusan majlis. Secara jujur, debaran perkahwinan lebih berganda. Tanggungjawab kali ini lebih besar. Insya-Allah, saya sudah bersedia untuk perkahwinan kedua ini,” katanya.

Fasha dan Aidil bakal diijabkabulkan pada bulan Mac di sebuah masjid di Perlis, manakala majlis bagi pihak lelaki akan berlangsung pada bulan April di Rembau, Negeri Sembilan. Pasangan ini akan menggayakan busana rekaan pereka terkenal, Rizman Ruzaini.

Sementara itu, Fasha turut berkongsi bakal berehat berlakon selama dua atau tiga minggu bagi memberi fokus pada perkahwinannya sebelum memasuki semula set penggambaran pada bulan April.

Dalam perkembangan lain, pelakon yang bakal muncul dengan drama ‘Semua Salahku’ bakal ditayangkan pada bulan Jun di Slot Lestary TV3 ini dipilih sebagai ahli panel dan juri jemputan untuk Siri Jelajah Drama Festival Kuala Lumpur 2019 yang bakal bermula pada 1 Mac depan.

Ad Ops