Categories: Trending

Fokus Kepada Keluarga & Nak Jaga Nama Baik, Tom Dah Cuci Tangan Bergelar Penyanyi Kelab Malam

Penyanyi Tom memaklumkan sudah meninggalkan kerjaya sebagai penyanyi di kelab malam demi memberi perhatian sepenuhnya kepada anak-anak dan suami.

Akui masih lagi rindu untuk membuat persembahan di hotel dan kelab malam, pelantun lagu Redha itu memberitahu ingin menapak dalam aliran perdana (mainstream).

“Sebenarnya, saya sangat rindu. Jadi, saya akan tengok persembahan kawan-kawan. Dah sampai masanya untuk saya fokus kepada keluarga dan mainstream pula. Saya dah puas bekerja hampir 20 tahun di kelab malam,” katanya kepada XTRA.

Suami tercinta, Fuad Rahman turut menyokong tindakan isterinya.

Menurut penyanyi kelahiran Singapura itu, bekerja sebagai penyanyi kelab malam mempunyai banyak risiko dan bakal berdepan dengan pelbagai kontroversi.

Dia bimbang dengan tanggapan orang ramai yang memandang serong terhadap pekerjaan tersebut memandangkan Tom merupakan seorang anak seni.

“Menyanyi di kelab malam agak bahaya. Orang akan mudah mengata dan cetuskan kontroversi. Kamera semua akan tertumpu pada Tom dan mereka akan merakam video dan viralkan benda yang bukan-bukan,” jelasnya.

Pasangan suami isteri itu turut menepis dakwaan netizen yang sering menanggap penyanyi kelab malam sebagai satu pekerjaan yang hina dan tidak baik.

“Kami tak hina pekerja kelab malam. Orang ingat pekerjaan ini jahat tapi sebenarnya tidak. Penyanyi ini mencari rezeki yang halal.

“Kami hanya menyanyi sahaja, tidak minum atau melayan lelaki pun. Lepas kerja terus balik. Kalau nak buat jahat, di mana-mana pun boleh,” ujar Tom.

Bagi Tom, penyanyi harus pandai menjaga diri dan menjaga batas-batas tertentu dalam pergaulan.

Mengulas lanjut mengenai undangan untuk menjayakan persembahan, Tom terima sahaja dan akan mempertimbangkan berbaloi dengan bayaran.

Dalam pada itu, Tom tidak menolak kemungkinan untuk kembali menyanyi di kelab malam sekiranya terpaksa atau terputus rezeki.

Pasangan suami isteri itu ditemui usai konsert mingguan Famili Duo di Studio Glenmarie, Shah Alam, malam tadi.

Program rancangan hiburan realiti TV berkonsepkan Rancangan Nyanyian Keluarga tersebut menampilkan enam pasangan iaitu Tom dan Fuad Rahman (suami isteri), Syahir dan Shila Amzah (adik-beradik), Adira dan Emma Suhaimi (adik-beradik), Adam dan Ryan Bakery (adik-beradik), Sharif dan Syaiful Zero (adik-beradik) serta Haqiem Rusli dan Ariff Bahran (sepupu).

Jangan lupa saksikan Famili Duo musim ketiga setiap Ahad, jam 9 malam di TV3 dan strim secara HD hanya di Tonton.

Syamir Shafie