Categories: Trending

#HelloPadin: Ulat, Segumpal Rambut & Ayam Tak Bersih… Pembelian Juadah Di Bazar Ramadan Ibarat Satu ‘Perjudian’

Kembali lagi kita dalam segmen #HelloPadin! Sedar tak sedar, kita sedang memasuki pertengahan bulan Ramadan dan bakal menyempurnakan ibadah puasa selama sebulan.

Sambutan Ramadan kali ini kembali dimeriahkan dengan bazar juadah yang mula dibuka sepenuhnya selepas dua tahun kita berpuasa dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Saya terpanggil untuk membicarakan mengenai isu peniaga bazar Ramadan menipu pelanggan yang kembali mengganas pada tahun ini.

Kini, setiap pembelian di bazar Ramadan sudah menjadi ibarat satu ‘perjudian’ sementara menanti waktu berbuka puasa.

Bagaimana rasa juadah tu? Sedap ke makanan yang dibeli? Macam mana dengan kualiti makanan, bersih ke tak?

Pelbagai soalan bermain di benak fikiran dan semuanya bakal diketahui ketika waktu berbuka puasa.

Semenjak awal puasa, kita dihidangkan dengan pelbagai kisah mengenai sesetengah peniaga bazar Ramadan yang seakan ‘menganiaya’ pelanggan.

Kisah rangka ayam tidak dicuci bersih, bomboloni berinti angin, tepung pelita dengan segumpal rambut, roti john isi ‘baked bean’ dan macam-macam lagi.

Baru-baru ini, media sosial dihebohkan dengan cerita seorang pelanggan yang membeli mi tonggek lauk sotong yang berharga RM30.

Umpama promosi ‘buy one free one’, pelanggan itu dikejutkan dengan pakej beli sotong percuma ulat dalam hidangannya.

Bayangkan hasrat untuk menikmati makanan yang diidamkan setelah seharian berpuasa dimusnahkan dengan insiden yang mengecewakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Beli Rangka Ayam Tak Cuci Bersih Di Bazar Ramadan, Netizen Berang – “Nak Meniaga Biar Ikhlas!”

Jika makanan itu rasanya tidak sedap, mungkin boleh diterima lagi, tetapi jika ia bersulam elemen menjijikkan seperti ayam tidak dicuci bersih atau sotong berulat, ia tidak masuk akal dan seperti menganiaya pembeli.

Keilkhlasan dalam perniagaan seakan dipandang remeh oleh sesetengah peniaga yang kurang bertanggungjawab.

Mungkin ada insiden terjadi kerana kesilapan kecil tetapi ia seharusnya tidak berlaku, lebih-lebih lagi kepada mereka yang seharian berpuasa.

Ada juga antara peniaga yang kurang peka ini merupakan peniaga bermusim dan hanya berniaga ketika tiba bulan Ramadan sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Rambut Dalam Tepung Pelita, JKN Perak Sedang Jalankan Siasatan

Saya berharap agar situasi seperti ini tidak berulang lagi di masa akan datang kerana peniaga seharusnya mengutamakan keikhlasan serta kebersihan.

Dalam kita mengejar keuntungan, janganlah sekadar asal boleh sahaja makanan disediakan.

Padin