Categories: FeaturedTrending

Hot FM Kini Stesen Radio Nombor Satu Di Malaysia

Stesen radio Hot FM kini merupakan stesen radio nombor satu di Malaysia selepas mencatatkan jumlah pendengar mingguan sebanyak 3.8 juta.

Menurut Ketua Rangkaian Kandungan Hot FM, Digital & Audio+, Shah Hayatudin, masyarakat kini lebih selesa mendengar penyampai radio yang boleh membuat mereka berasa dekat selari dengan perubahan landskap dan corak dalam industri penyiaran radio.

“Landskap radio hari ini sudah berubah. Jika dulu, kita ada pelbagai jenis penyampai radio dari penyampai, hingga pelawak. Kini, masyarakat lebih selesa dengan orang yang dekat dengan mereka menyampaikan segala informasi semasa,” katanya.

Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Shah ketika ditemui di majlis pembaharuan penjenamaan Kool 101 yang berlangsung di sekitar Kuala Lumpur, tadi.

Malah, kehadiran bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atau KJ beraksi dengan Johan, Fara Fauzana dan AG bagi segmen Bekpes Hot sejak Februari lalu turut memberi lonjakan sebanyak 75 peratus dalam strim digital secara langsung di laman web Hot FM serta aplikasi Audio+.

Bahkan, elemen unik dan kejutan sentiasa menjadi DNA kepada pasukan Hot FM apabila mencipta sesuatu idea pengisian mahupun kempen.

Bukan itu sahaja, kajian yang dibuat oleh Nielson Consumer & Media View terhadap 10,000 responden terpilih sejak tahun lalu membuktikan Hot FM mencatat peningkatan sebanyak 464,000 pendengar atau 14 peratus berbanding tinjauan lepas.

Malah, stesen radio ini juga mencatatkan angka yang menakjubkan sebanyak 4.8 juta bagi jumlah pendengar bulanan dan 31.1 juta bagi pendengar secara digital

Selain KJ, Fara, AG dan Johan, stesen radio di bawah naungan Media Prima Audio (MPA) itu turut menampilkan barisan penyampai yang hebat seperti Fizi Ali, Aisha, Keymi dan Ayu.

Fatin Nurain