Categories: Trending

Jadi Kontak Rapat, Haqiem Rusli Bersyukur Negatif COVID-19

Penyanyi popular, Haqiem Rusli bersyukur apabila disahkan negatif COVID-19 selepas membuat ujian calitan.

Haqiem atau nama sebenarnya, Ridzuan Haqiem Rusli, 23, memaklumkan perkara terbabit menerusi muat naik akaun Instagram miliknya.

“Syukur, pagi ni dapat keputusan negatif,” tulis Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH 33 (ABPBH 33) di ruangan kapsyen.

Sebelum ini, Haqiem menjalani ujian saringan selepas dipercayai menjadi kontak rapat kepada seorang individu yang disahkan positif COVID-19.

Dalam pada itu, single terbaru Haqiem yang berjudul Mimpi masih mengungguli carta trending di laman YouTube YouTube.

Meraih lebih 2.1 juta tontonan selepas seminggu dilancarkan, muzik video Mimpi kini berada di tangga #2 carta terbabit.

Kali ini, Haqiem bergandingan dengan penerbit popular, Datuk A. Aida untuk menghasilkan lagu dan lirik Mimpi.

“Ini pengalaman pertama saya bekerja dengan beliau di dalam studio. Saya suka semangat  dan kesungguhannya sewaktu bekerja.

“Sejujurnya, saya kagum dengan Datuk A. Aida. Dia bukan sahaja wanita yang berjaya dalam perniagaan malah ibu tunggal yang gigih tanpa kenal erti putus asa,” kata Haqiem.

Mimpi merupakan single ke-14 Haqiem dan menjadi runut bunyi drama bersiri Bidadari Salju yang sedang rancak ditayangkan di slot Akasia TV3.

Jangan lupa saksikan minggu terakhir drama bersiri Bidadari Salju yang dibintangi oleh Sweet Qismina, Adam Lee, Jasmine Suraya dan ramai lagi setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di TV3!

Padin