Categories: Trending

Jadi Mangsa ‘Love Scam’, Duit RM 128,300 Lesap

Lagi kes sindiket penipuan internet atau ‘love scam’! Kali ini, kes melibatkan seorang kerani yang berkenalan dengan seorang lelaki yang mendakwa tinggal di Amerika Syarikat.

Lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Lee Yun Micheal itu pada mulanya menawarkan pelbagai hadiah bernilai dan wang tunai kepada wanita ini.

Dek kerana teruja dengan tawaran berkenaan, akhirnya mangsa diperangkap sehingga kerugian RM 128,300.

Kejadian yang berlaku di Kuala Lipis, Pahang itu bermula apabila suspek mengaku ingin memberikan mangsa berusia 20 tahun itu hadiah berupa baju, basut, beg tangan, emas putih, minyak wangi, telefon bimbit, gelang tangan, jam tangan, barang kemas dan mata wang asing bernilai USD28,000, sebagai tanda perkenalan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof mengesahkan tentang kejadian bermula pada 6 April lalu.

“Pada hari yang sama, mangsa membuat pemindahan secara atas talian ke dalam akaun bank yang diberikan suspek,” kata Mohd Wazir dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selepas itu, katanya, suspek menghubungi mangsa lagi dan memintanya membuat pelbagai bayaran termasuk untuk mendapatkan sijil mata wang luar negara, kos penghantaran dan bayaran pengangkutan.

“Untuk tujuan itu, bermula pada 11 Mei sehingga 1 Jun lalu, mangsa membuat sebanyak 10 kali transaksi ke tiga akaun berbeza yang diberikan oleh suspek, menjadikan jumlah keseluruhan RM128,300,” katanya.

Bagaimanapun, kata Mohd Wazir, selepas memasukkan wang berkenaan, mangsa baharu menyedari dirinya sudah ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis pada Rabu.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menawarkan hadiah pelbagai jenis barang daripada luar negara sebagai tanda perkenalan sebelum menyamar sebagai agen kastam dan meminta pelbagai bayaran daripada mangsa,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat, serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

SGMS Faida

Recent Posts