Categories: Trending

Jenazah Siti Nor Hafiza Selamat Dikebumikan

Jenazah wartawan hiburan, Allahyarham Siti Nor Hafiza Kamarudin, 41, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Batu Caves, Selangor kira-kira jam 12.50 tengah hari ini.

Memetik laporan Berita Harian, lebih 200 orang hadir mengiringi jenazah Allahyarham ke tanah perkuburan termasuk ahli keluarga, saudara mara, pihak media dan rakan terdekat.

Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jenazah dibawa ke Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk disolatkan pada pagi ini.

Terdahulu, industri kewartawanan tanah air dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham yang meninggal dunia di London akibat pendarahan otak.

Allahyarham dilaporkan pengsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, semasa menunggu penerbangan pulang ke Malaysia selepas bercuti ke negara tersebut sejak pertengahan Disember lalu.

Allahyarham merupakan bekas pesakit kanser payudara, namun sel barah berkenaan dikatakan kembali aktif selepas enam tahun disahkan bebas daripada penyakit tersebut.

Percutian ke London ini juga adalah hajat terakhir Allahyarham bagi menunaikan janji kepada anak iaitu Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.

Maya Basir