Categories: Kisah ViralTrending

Dibida Dengan Harga RM135,000, Jam Tangan Rolex Dr Zulkifli Pemberian Raja Arab Saudi Akhirnya Jumpa Pemilik Baru!

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri atau Dr Zul telah berjaya menemukan pemilik baru jam tangan Rolex yang dibida semalam.

Menerusi perkongsiannya di Instagram, lelaki dari Pasir Gudang, Johor membida jam tangan mewah itu pada harga RM135,000 tujuh minit sebelum tempoh bidaan ditutup.

“Alhamdulillah, telah sempurna penyerahan jam Rolex saya yang merupakan derma kurnia Raja Arab Saudi, DYMM Al-Malik Salman bin Abdulaziz Alsaud hafizahullahu ta’ala kepada pemilik baharunya, seorang Hamba Allah daripada Pasir Gudang, Johor.

“Saya tanya kepada beliau, ‘Mengapa terdetik untuk membida dengan nilai RM135,000 pada 7 minit terakhir sebelum ditutup pada jam 12 tengah malam semalam?’

“Pembida ini sebak dan kemudiannya menangis. Jawapannya kerana ia adalah derma kurnia Raja Arab Saudi, milik saya dan demi Palestin,” katanya.

Dalam perkongsian sama, Dr Zul memberitahu dia dalam perjalanan ke Abu Dhabi bagi menghadiri mesyuarat tahunan bersama Syeikhul Azhar dan akan singgah sebentar ke Jordan bagi menyerahkan sendiri wang berjumlah RM100,000 kepada pelarian Palestin di Amman, melalui Muslim Care Malaysia.

“Baki RM35,000 akan diserahkan bermula esok kepada 8 NGO terpilih iaitu MERCY Malaysia, Global Peace Malaysia, Cinta Gaza, Aqsa Syarif, PAS Relief, MAPIM, Aman Palestin dan MyFundAction,” jelasnya.

Tambah Dr Zul, dia mengakui sayang dengan jam tersebut namun terpaksa berkorban demi saudara-saudara di Palestin yang memerlukan bantuan.

“Saya sayang jam ini tetapi saya lebih sayang saudara kita di Palestin. Semoga ini menjadi sejuzuk kecil saksi pengorbanan kecil kami untuk Palestin,” ujarnya.

Terdahulu, perkongsian Dr Zul tentang bidaan jam tangan berjenama mewah di media sosial meraih perhatian ramai apatah lagi ia merupakan hadiah istimewa pemberian Raja Arab Saudi.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Zulkifli Lelong Jam Tangan Rolex Kesayangan Pemberian Raja Arab Saudi Demi Bantu Palestin, Bidaan Kini Cecah RM131,000!

Maya Basir