Gara-Gara Ikan Siakap Harga ‘Kayangan’ Viral, Pemilik Restoran Dedah Perkara Sebenar

Pemilik restoran siakap harga ‘kayangan’ yang tular baru-baru ini akhirnya tampil membuat pendedahan selepas perkara tersebut menjadi topik perbualan hangat rakyat Malaysia sehingga terdapat segelintir individu yang melemparkan kata-kata fitnah terhadap mereka.

Menurut pemilik restoran Restoran Terapung Sas Rimba, Norasyikin Musa, beliau telah memaklumkan pelanggan berkenaan mengenai saiz dan harga bagi setiap kilogram makanan laut yang terdapat di restorannya.

“Saya sudah mencadangkan kepada pelanggan itu supaya ambil ikan lain seperti ikan merah atau kerapu dengan saiz antara satu hingga 1.5 kilogram (kg), ia lebih sesuai untuk dijadikan hidangan.

“Saya juga sudah terangkan kepada pelanggan berkenaan bahawa ikan yang dipesannya seberat kira-kira 7 kg itu tidak dijual tetapi dipelihara dalam sangkar untuk dijadikan tontonan pengunjung restoran,” katanya.

Selain itu, Norasyikn menegaskan bahawa tiada caj tambahan yang dikenakan oleh pihaknya bagi pembayaran menggunakan kad kredit seperti yang didakwa pelanggan terbabit.

Siap kena warning pelanggan?

Tambahnya lagi, selepas satu resit yang telah dimuat naik oleh individu berkenaan viral dengan tertera harga ikan siakap seberat 7.48 kilogram iaitu sebanyak RM1,196.80 serta jumlah keseluruhan bil untuk tujuh orang makan adalah sebanyak RM1,759.50.

Malah, individu terbabit turut mendakwa ada menegur dan menasihati pihak restoran berkenaan supaya tidak mengulangi perkara tersebut termasuk menghidangkan ikan sebesar itu hanya untuk tujuh orang makan.

Apapun, diharap segala persoalan dan tuduhan yang dilemparkan dapat dijawab dengan penjelasan dari pemilik restoran tersebut.

Salma Syahbuddin