Wanita Meninggal Dunia Selepas Tidak Sedarkan Diri Semasa ‘Hiking’

Seorang wanita meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika melakukan aktiviti mendaki bukit di Pulau Bohey Dulang pada Khamis.

Menurut laporan Berita Harian, polis memaklumkan mangsa bersama dua rakan perempuannya itu pergi ke pulau berkenaan untuk melakukan aktiviti ‘hiking’ kira-kira jam 10.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata doktor di Unit Kecemasan, Hospital Semporna mengesahkan mangsa yang juga penjawat awam berusia 40 tahun tersebut meninggal dunia.

“Sebelum mangsa dibawa ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut, pekerja di Taman-Taman Sabah telah memberikan bantuan kecemasan.

“Namun begitu, hasil pemeriksaan lanjut doktor yang bertugas di Unit Kecemasan hospital itu mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Mohd Farhan Lee berkata, mayat mangsa akan dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat dan mengenal pasti punca kematian.

Tambahnya, siasatan masih dijalankan dan pada masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sumber: Berita Harian

Marcella