#JusticeForBella: Siti Bainun Menangis Lihat Bella Hadir Perbicaraan Mahkamah.. Nampak Bahagia Siap Bagi Mini Love!

Remaja menghidap Sindrom Down dikenali sebagai Bella yang didakwa menjadi mangsa penderaan di bawah jagaan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dibawa ke Mahkamah Seksyen, Kuala Lumpur hari ini.

Malah, Bella juga sempat memberikan ‘mini love’ kepada pihak media yang berada di sekitar perkarangan mahkamah bagi membuat liputan berhubung kes tersebut.

Untuk proses pengecaman pula,  Bella dilaporkan akan dibawa ke bilik saksi pada jam 9.50 pagi oleh pegawai Jabatan Masyarakat (JKM) dan disambut oleh peguam Datuk Khairul Anwar Rahmat yang dilantik oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku peguam pemerhati.

Selain Bella, dua remaja berusia 15 dan 17 tahun serta tiga kanak-kanak berusia empat dan tiga tahun turut hadir bagi prosiding sama.

Menurut peguam, Khairul Anuar Rahmat, keadaan Bella kini sihat dan diharapkan dia kekal stabil sehingga prosiding pengecaman saksi berlangsung.

Semenatra itu, Siti Bainun difahamkan tidak dapat menahan sebak terutamanya selepas melihat kelibat Bella dan dia juga dilihat sempat melambai tangannya beberapa kali ke arah kanak-kanak itu.

Terdahulu, peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun memohon supaya anak guamnya bersemuka dengan enam individu terbabit untuk melihat reaksi mereka.

“Sekiranya mahu identiti dirahsiakan, orang awam boleh diminta keluar dan tirai dibuka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad memaklumkan terdapat keperluan untuk melindungi saksi daripada terpengaruh dengan apa yang mereka lihat dan dengar di dalam mahkamah.

“Ini adalah perlu saksi ini dicamkan dan tidak terdedah terus dalam mahkamah ini,” katanya.

Hakim Izralizam Sanusi berkata, ini proses pengecaman dan tidak timbul isu untuk melihat reaksi kerana ia untuk tujuan sama ada orang dirujuk adalah individu yang disebut oleh saksi dalam perbicaraan.

“Tapi sekiranya pihak pendakwaan merasakan ada keperluan untuk orang awam keluar tiada masalah,” katanya.

Bagaimanapun, Nor Azizah memaklumkan tiada masalah untuk media dan orang awam berada di galeri awam kerana ia hanya proses pengecaman bukan merakam keterangan.

 

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin