Marsha Milan Sebak Teringat Nad Zainal, Terkenang Rakan Di Pentas SFMM37

Penyanyi Marsha Milan tidak dapat menahan air mata ketika berkongsi mengenai pelakon Nad Zainal yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat jangkitan kuman pada paru-paru, baru-baru ini.

Menurut Marsha, ketika menyanyikan lagu Kembali Terang di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 37 (SFMM37) semalam, dia terkenang Nad yang sedang mendapatkan rawatan di hospital.

“Tadi, sebenarnya saya terkenang dia. Rasa terngiang-ngiang lagu ini untuk dia. Saya bukan nak hard sell ke apa, tapi bila teliti semula lirik lagu saya, memang kena.

“Saya rasa every singer bila dia nyanyikan sebuah lagu, ia merupakan satu penceritaan, jadi saya rasa how I tell the story is relating whatever it is in my circle,” katanya.

Marsha yang melawat Nad pada Rabu turut meluahkan rasa sebak apabila melihat keadaan sahabatnya di hospital.

“Sebab kami ada special group WhatsApp yang dari dulu lagi dah janji nak jumpa. Dalam group tu ada saya, Nad, Nabila Huda, Sharifah Sakinah, Sherry Alhadad dan ramai lagi.

“Jadi, bila nampak dia dalam keadaan macam itu, saya sendiri jumpa dia. It’s quite frustrating actually sebab kita rapat jadi bila nampak dia tiba-tiba tak sihat, sedih tengok dia melalui saat getir macam tu.

“Bila sampai di hospital, nampak pula anak-anak dia, semua kecil-kecil lagi dan tak tahu apa-apa yang berlaku.

“Walaupun saya tak ada pengalaman menjadi seorang ibu, tapi bila saya tengok sendiri memang saya sebak,” katanya.

Selain itu, Marsha turut memberitahu dia sempat masuk ke dalam ICU berjumpa, memegang tangan dan bercakap dengan Nad.

“Saya dapat masuk dalam jumpa, pegang tangan dia dan sempat bercakap dengan dia.

“Saya ingat saya suruh dia kuat dan teruskan perjuangan sebab ada anak-anak yang tunggu dia. Saya suruh dia bangun sebab ada banyak benda yang dia dan saya sudah janji nak buat sama sama.

“Itu antara ayat yang ramai masuk melawat dan cakap benda sama, sebab terbukti apa yang kami nampak dia jadi lebih positif dari segi progress oksigen level dia tu.

“Saya rasa semangat dari kawan-kawan berikan kepada dia itulah yang membuatkan dia lebih kuat Alhamdulillah.

“Walaupun dia dalam keadaan tidur tapi kita boleh nampak respons dia, bila cakap pasal anak, keluar air mata dia, so we know that she actually listening,” katanya.

Marsha ditemui XTRA usai hari pertama SFMM37 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, semalam.

Selain Kembali Terang, 17 lagu lain turut berentap di hari pertama SFMM37.

Hari kedua SFMM37 bakal menyaksikan baki 12 lagu yang bakal bertanding merebut tempat ke AJL37.

Jangan lupa saksikan SFMM37, hari ini, jam 3 petang hanya di TV3 atau strim secara langsung di tonton.com.my, YouTube TV3Malaysia dan TikTok TV3Malaysia.

Dharnieya Nur Amelsa