“Memang Sembelih Rakyat!” – Netizen Tak Puas Hati Kedai Wujud Caj Potong Ayam, Ini Penjelasan Peniaga

Isu kenaikan harga barang semakin menjadi perbualan hangat yang mengusarkan rakyat Malaysia terutamanya harga bahan mentah seperti ayam.

Malah, baru-baru ini tular sebuah hantaran melibatkan peniaga ayam di Kubang Semang telah mengecaj Rm0.80 per Kilogram (kg) untuk memotong ayam.

Hantaran tersebut dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook yang memuat naik berita berkenaan di Facebook Bukit Mertajam Community.

Susulan itu, rata-rata netizen meluahkan rasa berang dengan sikap peniaga berkenaan yang dianggap sengaja menyusahkan pembeli.

Malah, ada juga dalam kalangan mereka yang mempertikaikan mengapa peniaga berkenaan membuat demikian, sedangkan harga ayam semakin mahal.

Bukan itu sahaja, ramai juga mengadu peniaga berkenaan tidak memberi pilihan kepada pembeli untuk membeli ayam yang tidak dipotong, ini kerana difahamkan peniaga hanya menjual ayam yang telah dipotong sahaja.

Hantaran tersebut telah menimbulkan rasa tidak menyenangkan netizen yang mengatakan peniaga tersebut telah menaikkan harga caj potongan daripada RM0.60/kg kepada RM0.80/kg.

Ekoran itu, seorang wakil dari Kedai Ayam Org tampil membuat penjelasan mengenai caj pemotongan harga ayam di kedai mereka.

Menerusi ruangan komen, wakil bernama Amirul berkata dia memahami keluhan orang ramai namun turut mengakui terpaksa melakukan perkara berkenaan atas sebab terbeban dengan kos, modal, serta perlu membayar gaji pekerja.

”Kami faham keluhan dan comment kata-kata dari masyarakat. Dengan harga kawalan yang menekan kami sebagai peniaga dimana kami perlu mengekalkan harga siling ayam.

“Tetapi kami juga terbeban dengan kos dan modal seperti ais, gaji pekerja lagi, pengangkutan dan sebagainya.

“Pengguna masih ada hak untuk mengadu, kami peniaga yang mempunyai pekerja yang perlu dijaga kebajikannya, pembekal yang perlu dibayar bekalannya, bank yang perlu dibayar hutangnya.

“Semoga situasi ini tidak berlanjutan dan kita juga boleh berurus niaga seperti dulu kembali. Maafkan kami.

“Segalanya bukan rancangan pihak Ayam Ory untuk menekan pengguna. Kami juga tertekan,” jelasnya.

 

Aqilah Paharuzi