Penghantar Makanan Cabul Wanita Di Lampu Isyarat

Seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar makanan telah mengaku bersalah atas dakwaan mencabul seorang wanita di Mahkamah Majistret Jenayah (1) hari ini.

Lantaran itu, tertuduh, Muhammad Falihin Abdul Talib, 28, dikenakan denda berjumlah RM4,000 dan jika gagal membayar, dia akan dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan.

Hukuman tersebut dibuat oleh Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nazri Abdul Rahim membacakan pertuduhan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Falihin didakwa melakukan jenayah itu di Jalan Bukit Gambir, Gelugor kira-kira jam 12.30 tengahari pada 20 April lalu.

Pertuduhan dikenakan ke atas dia kerana telah menggunakan kekerasan jenayah dengan cara meraba payudara seorang wanita Indonesia dengan berniat untuk mencabul kehormatan wanita tersebut.

Dengan demikian, dia telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika disabitkan bersalah.

Walaubagaimanapun, tertuduh membuat rayuan agar denda yang dikenakan dapat dikurangkan atas alasan dia merupakan ketua keluarga yang perlu menanggung keluarganya dengan hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM2,000 sahaja sebulan.

Sumber: Sinar Harian

Atiqah Johari