Sempena Ulang Tahun Kelahiran Ke-57, Wajah Shah Rukh Khan Sekali Lagi Terpampang Di Burj Khalifa

Pelakon terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan (SRK) menerima kejutan apabila wajahnya terpapar sekali lagi di skrin menara tertinggi di dunia, Burj Khalifa sempena ulang tahun ke-57.

Malah, salah seorang sahabat baik SRK turut membuat kejutan dengan mempamerkan foto dan tulisan ‘We Love You’ di menara tersebut.

Bukan itu sahaja, peminat dari pelbagai pelosok daerah termasuk dari luar negara turut membanjiri pekarangan rumah pelakon itu demi meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya.

Menerusi sebuah video yang dikongsikan, SRK sedang berdiri dan melambai tangan ke arah peminat tercinta dari balkoni rumah untuk meraikan hari bermakna itu.

Dalam pada itu, lagu ‘Happy Birthday’ turut dimainkan sepanjang masa oleh lautan peminat buatnya.

Untuk info, SRK dilahirkan pada 2 November 1965 di New Delhi, India dan telah memulakan karier sebagai selebriti sejak tahun 1988 sehingga sekarang.

Dharnieya Nur Amelsa