Dilarang Ceramah Di Pulau Pinang, Ustaz Kazim & Ustaz Dusuki Turut Tersenarai Tidak Miliki Tauliah Mengajar MAINPP

Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah mengeluarkan surat pekeliling senarai nama 16 orang individu yang didapati tidak memiliki tauliah mengajar daripada MAINPP semalam.

Antara nama yang tersenarai ialah pendakwah bebas Datuk Mohd Kazim Elias dan Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani.

Lagi, individu lain yang tersenarai ialah Datuk Ahmad Husam Baderudin, Yusni Mat Piah, Dr Abdullah Yassin, Prof Madya Dr Muhamad Rozaime Ramle, Salman Ali, Maulana Fakhrurrazi, Mohd Rizal Azizan, Halim Hassan, Aiman Subri, Afnan Hamimi Taib Azamudden, Shaharudin Ibrahim, Wan Hizam Abdullah Sabil, Shahrir Long dan juga Sobri Arshad.

Memetik laporan BH Online, Yang Dipertua MAINPP, Datuk Zakiyuddin Abd Rahman menyatakan bahawa nama-nama terbabit dilarang untuk menyampakain ceramah, khutbah mahupun majlis ilmu atas faktor tidak memiliki tauliah mengajar yang dikeluarkan MAINPP.

Tambah, 16 individu tersebut tidak boleh dijemput oleh pihak penganjur untuk program seperti seminar, syarahan, khutbah di masjid dan surau serta institusi di seluruh Pulau Pinang.

“Pihak pentadbiran MAINPP menerima aduan daripada orang awam dan mendapati bahawa 16 penama itu tidak memiliki tauliah mengajar daripada MAINPP.

“Tujuan larangan ini dikuatkuasakan bagi memastikan semua penceramah menghormati dan mematuhi kehendak perundangan syariah berhubung pentauliahan.

“Ia juga bertujuan memastikan penceramah selayaknya menyampaikan ilmu menyatupadukan dan tidak menimbulkan kekeliruan serta perselisihan pandangan yang boleh menjejaskan keharmonian sesama masjid dan ahli kariah,” katanya dalam surat pekeliling itu.

Bukan itu sahaja, ke semua individu tersebut yang gagal mematuhi undang-undang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang (EKJSNPP) 1996 dan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004.

Manakala pihak penganjur juga akan dikenakan hukuman jika menjemput individu yang tersenarai dengan denda berupa penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya akibat melanggar Seksyen 43 (Penyubahatan) di bawah Seksyen 11 EKJSNPP 1996 iaitu bersubahat menganjurkan program membabitkan penceramah tanpa tauliah.

Sumber: BH Online

Atiqah Johari