Ustazah Asma’ Ketuai Bacaan Yassin Buat Nad Zainal, Hampir 4,500 Masuk Sesi Live

Industri seni tanah air dikejutkan dengan berita sedih apabila aktres versatil Nad Zainal dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Sehubungan dengan itu, satu inisiatif telah di ambil oleh The Khadijah iaitu mengadakan satu bacaan Yassin khusus buat Nad yang diketuai oleh Ustazah Asma Harun.

Menerusi hantaran di Instagram milik Asma, dia menjemput semua orang untuk hadir bersama-sama membacakan Surah Yassin bagi mendoakan kesembuhan pelakon tersebut.

“Atas permintaan dan anjuran D Khadijah, jemput semua hadir majlis bacaan Yassin secara live jam 8.30 malam ini di Instagram Ustazah Asma’ Harun, buat adinda Nad Zainal yang kini bertarung di ICU kerana jangkitan kuman di paru-paru. Mohon doakan Allah ya Salam memberikan kesembuhan yang sempurna,” tulisnya.

Asma juga memuat naik rakaman bacaan Yassin semasa sesi live di Instagram itu dan hampir 4,500 orang yang memasuki sesi live tersebut bagi bersama-sama mendoakan kesembuhan Nad.

Sedikit info, Nad terpaksa ditidurkan selepas pembedahan dan dimaklumkan Nad mengalami autoimun yang menyebabkan sistem imun menyerang sel tisunya sendiri.

Halimey Zamal