Categories: HiburanTrending

Bakawali Kolaborasi Ketiga Datuk Jamal Abdillah & Wany Hasrita – “Bimbang Jika Tak Dapat Atasi Versi Asal”

Penyanyi Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita tampil dengan duet terbaharu berjudul Bakawali.

Lagu irama tradisional yang pernah dipopularkan oleh Siti Nordiana dan Syura ini diberi nafas baharu dan ia merupakan lagu duet ketiga selepas Belenggu Rindu dan Kucuma.

“Pada awalnya, saya agak lambat memberi jawapan apabila ditawarkan oleh FMC Music untuk merakamkan lagu ini kembali kerana lagu ini pernah dirakamkan oleh penyanyi asal.

“Saya bimbang jika tidak dapat mengatasi atau menyamai kebaikan Bakawali yang pernah dirakamkan penyanyi asal

“Tetapi apabila difikirkan semula, versi kali ini agak berbeza dengan yang asal. Sebelum ini, ia merupakan duet dua penyanyi wanita.

“Jadi saya terima dan saya terpaksa gunakan kebolehan dan kelebihan yang ada pada saya untuk mewarnai lagu ini sebaik mungkin.

“Saya mengambil cabaran tersebut dengan tekad untuk menberi hasil yang terbaik bukan sekadar buat dan suam suam kuku sahaja,” kata Jamal.

Tambah Wany, ini merupakan salah satu cara untuk menyumbang dan membantu mengekalkan irama tradisional.

“Saya memang suka menyanyikan lagu-lagu berentak Melayu dan tradisional. Peluang merakamkan kembali lagu ini merupakan satu cara saya menguji kemampuan diri.

“Semua orang dah tahu lagu Bakawali ini pernah dinyanyikan dengan baik oleh penyanyi asal. Apabila dinyanyikan semula tentunya ramai yang tidak sabar nak dengar bagaimana hasilnya, adakah lebih baik atau sebaliknya.

“Saya bersyukur kerana dapat berduet dengan seorang mentor yang sudah saya anggap seperti sifu. Datuk Jamal banyak beri tunjuk ajar. Ia memudahkan dan menguatkan semangat saya untuk siapkan lagu ini dengan jayanya,” katanya lagi.

Padin