Categories: Trending

Misteri Hilang Semalaman Terjawab!

Kehilangan penuntut kolej swasta, Mohammad Hafiz Ismail, 24 yang dilaporkan hilang sejak semalam selepas keluar ke pasar malam bersama rakan akhirnya terjawab!

Rupa-rupanya, Hafiz ditemui dalam tahanan pihak polis untuk pemeriksaan dalam satu operasi di restoran di Bandar Baru Klang.

Menurut ibu mangsa, Noorliah Kasbulah, 48, dia dimaklumkan oleh rakan anaknya yang menemui kereta milik Muhammad Hafiz berhampiran restoran di Bandar Baru Klang kira-kira 2 petang, semalam.

Katanya, sebaik dimaklumkan mengenai penemuan itu, dia bergegas ke lokasi terbabit, namun anaknya tidak berada di dalam kenderaan berkenaan.

“Kami kemudian pergi ke restoran berhampiran untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.

“Berdasarkan rakaman itu, Muhammad Hafiz dilihat berada di restoran terbabit sedang makan bersama rakannya sebelum premis berkenaan diserbu pihak berkuasa.

“Dia (Muhammad Hafiz) dan rakannya turut ditahan dalam operasi itu sebelum dibawa ke balai polis berhampiran untuk pemeriksaan lanjut,” katanya kepada Harian Metro, sebentar tadi.

Noorliah berkata, sebaik melihat rakaman itu, dia membuat pemeriksaan di balai polis berhampiran sebelum dimaklumkan anaknya berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara selepas serbuan berkenaan.

“Saya kemudian pergi ke IPD Klang Utara untuk memastikan sama ada benar Muhammad Hafiz berada di sana.

“Polis membebaskannya selepas ujian saringan air kencing dilakukan didapati negatif kira-kira 7 malam tadi,” katanya yang sudah menarik laporan polis dibuat.

Katanya, dia bersyukur anak lelakinya itu dalam keadaan selamat dan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang banyak membantu memberikan maklumat sepanjang tempoh kehilangan Muhammad Hafiz.

SGMS Faida