Categories: Trending

“Mommy Bangga Dengan Abang” – Dijemput Hadir Ke Majlis Konvokesyen, Ucapan Ibu Zayn Rayyan Meruntun Hati Netizen

Ibu kepada kanak-kanak autisme yang dibunuh pada Disember lalu, Zayn Rayyan Abdul Matiin iaitu Ismanira Abdul Manaf menitipkan ucapan tahniah buat arwah anaknya yang sepatutnya menyambut hari graduasi sekolah pada Khamis.

Menerusi hantarannya di Instagram, Ismanira meluahkan rasa bangga dengan pencapaian dan turut berterima kasih pada pihak sekolah atas jemputan ke majlis konvokesyen berkenaan.

“Tahniah! Selamat bergraduasi Zayn Rayyan. Mommy bangga dengan setiap pencapaian abang.

“Tak kira besar atau kecil mana pun pencapaian abang, mommy tetap bangga.

“Terima kasih kepada warga SK Damansara Damai (2) di atas jemputan ke Majlis Konvokesyen semalam (Khamis). Ia akan menjadi kenangan yang indah buat kami sekeluarga,” tulisnya.

Di akhir hantaran tersebut, luahan hati ibu berusia 29 tahun ini meruntun hati netizen apabila dia menyatakan tidak dapat bergambar dengan arwah Zayn seperti ibu bapa lain.

“Mommy tak dapat nak bergambar bersama dengan Abang macam ibu bapa yang lain, mommy dapat edit macam ni je,” ujarnya.

Sekadar info, Zayn dilaporkan hilang sebelum ditemui dalam keadaan tidak bernyawa disaliran air berdekatan takungan air dari rumahnya di Apartmen Idaman yang terletak di Damansara Damai pada 5 Disember lalu.

Kematian Zayn diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan sehingga hari ini pelaku dan motif pembunuhan ini masih lagi belum dikenal pasti.

Namun, pihak polis memberikan jaminan bahawa siasatan tidak akan dihentikan meskipun tiada petunjuk baharu ditemukan setakat ini.

Maya Basir