Categories: FeaturedTrending

Nak fahamkan anak apa itu COVID-19 dan kenapa perlu bersih, tonton seleksi video ini

Bagi orang dewasa, bahaya koronovirus atau COVID-19 adalah sesuatu yang sangat menakutkan.

Itupun saat wabak ini dikatakan lebih dahsyat daripada  Sindrom Penafasan Akut Teruk  (SARS) dan Influenza H1N1, ada segelintir masyarakat masih buat endah tak endah walaupun saban hari jumlah kematian meningkat.

Sehinggalah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, barulah orang ramai mula memahami ancaman yang sedang berlaku, itupun dianggarkan hanya 60 peratus.

Kalau yang sudah dewasa atau tua sendiri pun tidak faham, apatah lagi kanak-kanak, justeru bagaimana cara terbaik untuk menjelaskan mengenai wabak merbahaya ini kepada kanak-kanak terutama yang masih kecil?

Tambahan pula anak-anak yang berusia bawah 10 tahun, ibu ayah pastinya akan dihujani pelbagai soalan.

Foto: CDC

Dalam hal ini, cara komunikasi berkesan dapat membantu mereka memahami sesuatu perkara yang sedang berlaku sekitar persekitaran kita.

Contohnya, setiap kali pulang dari kerja si kecil akan berlari untuk memeluk anda, tetapi anda tidak membenarkan mereka berbuat demikian kerana belum mencuci tangan atau membersihkan diri.

Anak-anak mungkin tidak faham kerana sebelum wabak COVID-19 menjadi isu kesihatan sejagat, mereka bebas berbuat demikian.

Bagi mengelakkan si kecil terasa hati, adalah penting untuk ibu bapa memberi penerangan mengapa kebersihan maksimum amatlah penting untuk dititikberatkan ketika ini.

Kebersihan bukan saja wajib dipraktikkan ibu bapa, malah anak-anak dan seisi keluarga meskipun mereka hanya berada di rumah.

Galakkan anak-anak membasuh tangan secara kerap dan terangkan kepada mereka dengan kaedah menonton beberapa video tular ini.

Antara video yang wajib ditonton adalah daripada guru tadika bernama Amanda Lorenzo, juga pemilik akaun Instagram @mandysmunchkin_

Foto: Mandys Munchkins

Video yang dimuat naik pada 11 Mac lalu itu, memaparkan satu demonstrasi kepada pelajar mengapa penting membasuh tangan dan menggunakan sabun atau cecair pembasmi kuman.

Amanda meletakkan serbuk lada hitam di dalam satu pinggan kertas berisi air dan mengandaikannya sebagai kuman.

Kemudian dia meminta pelajarnya bernama Isa, mencelupkan jari ke dalam pinggan dan didapati ‘kuman lada hitam’ tidak bergerak bahkan melekat pada jari Isa.

Kemudian Amanda meminta Isa mencelurkan jarinya ke dalam mangkuk berisikan cecair sabun, seterusnya memasukkan semula jarinya ke dalam pinggan ‘kuman’ tadi.

Sebaik Isa merendam jarinya, serbuk lada hitam terus terpisah dari jari telunjuknya, bagaikan ada kuasa graviti, menakjubkan!

Perkongsian guru itu menjadi tular dengan jumlah tontonan 593,229 dan 3,572 komen, selain mendapat liputan meluas media massa.

Kepada ibu bapa yang mungkin belum berkesempatan menonton video ini, Hijab & Heels kongsikan khas buat anda. Terdapat beberapa video edutainment untuk ditonton bersama si kecil supaya mereka mudah memahami pentingnya kebersihan dan mengapa perlu berada di rumah berikutan bahaya COVID-19.

Semoga terhibur!

 

Sumber: YouTube

Sumber: YouTube

Yanie Baharom