Categories: Trending

Pelakon & Pelawak Veteran, Datuk Jamali Shadat Meninggal Dunia

Pelakon dan ‘stand up’ komedi popular, Datuk Jamali Shadat, 78, telah menghembuskan nafasnya pada jam 8.30 pagi pada Rabu.

Beliau yang cukup terkenal pada era 80-an ini dikenali dengan kebolehan melakonkan watak ‘Atan’  bersama atuknya serta rakan-rakan yang berbilang kaum.

Berita mengenai pemergian Allahyarham dimaklumkan sendiri oleh cucu beliau, Isyraq Ariff Zalull Ariff, 31.

“Doktor sudah mengesahkan datuk sudah tiada. Urusan proses pengebumian akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Menurut Isyraq Ariff, Allahyarham amat terkesan dengan pemergian isteri tercinta, Lela Yacob akibat serangan angin ahmar pada Jun 2018 sehingga Allahyarham lebih banyak termenung.

“Arwah nenek buat rumah di Pulau Indah, Klang ini dan rancang nak tinggal dengan datuk. Apabila rumah siap, nenek meninggal dan hanya jasadnya dibawa balik ke situ,”jelasnya.

Terdahulu, keadaaan Allahyarham yang uzur menyukarkan beliau untuk berjalan manakala, selera makan pun turut berkurang.

Allahyarham Datuk Jamali Shadat dilahirkan di Bukit Kapar, Klang, Selangor, mempunyai lapan anak dan 39 cucu.

Salma Syahbuddin