Categories: Trending

Penerima BSH Berhak Tuntut Bantuan RM1000 Untuk Khairat Kematian

Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berhak mendapat bantuan khairat kematian sebanyak RM1,000. Hal ini dimaklumkan sendiri oleh Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abdul Rahim Bakri.

Tuntutan ini boleh dibuat melalui pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Selain itu, Abdul Rahim berkata penerima BSH juga secara automatik mendapat MySalam, iaitu skim perlindungan sosial kesihatan bagi meringankan beban perubatan ditanggung sekiranya dikenal pasti mempunyai antara 45 jenis penyakit kritikal.

”Antara faedah perlindungan ialah RM8,000 akan dibayar kepada mereka yang didiagnosis oleh hospital dan pusat perubatan bertauliah bagi 45 jenis penyakit kritikal.

Mereka juga berhak dilindungi apabila dimasukkan ke hospital RM50 sehari bagi tempoh 14 hari sebagai meringankan beban kewangan semasa sakit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau juga turut menjelaskan bahawa penerima BSH di luar bandar dan pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak perlu mendapat maklumat mengenai pelbagai lagi faedah sampingan daripada kerajaan Persekutuan yang boleh dimanfaatkan bagi meringankan beban.

Masih ramai penduduk yang layak di kawasan berkenaan belum menerima bantuan BSH terutama bagi mereka yang tidak memiliki akaun bank.

Oleh yang demikian, Abdul Rahim berkata Kementerian Kewangan akan melaksanakan beberapa kaedah baharu bagi menyampaikan bantuan tunai kepada penduduk di kawasan terbabit, selain program turun padang dilakukan oleh Jabatan Perbendaharaan dan LHDN.

Perkara ini termasuk menambah kiosk mesin juruwang automatik (ATM) Bank Simpanan Nasional serta melantik Pos Malaysia Berhad sebagai ejen BSN sebagai kemudahan penduduk luar bandar, katanya.

Sumber: Bernama

Aisyah Badrul

Shes got a 70s head but shes a modern lover