Categories: Trending

PKPD Secara Pentadbiran Di Amanjaya, Kedah Berkuatkuasa 28 Ogos

PUTRAJAYA, 27 Ogos – Mesyuarat Khas Menteri-Menteri memutuskan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Amanjaya, Kedah mulai 12.01 malam ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD tersebut melibatkan tiga (3) zon iaitu Kenanga, Mawar dan Melor.

“PKPD Pentadbiran ini melibatkan 22,360 individu iaitu 265 rumah, kesemua individu akan disaring oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

“Individu yang bekerja di luar PKPD, mereka tidak dibenarkan keluar untuk bekerja keluar kawasan PKPD.

“Manakala jika ada yang dari luar bekerja di kawasan PKPD, mereka tidak dibenarkan datang bekerja,” tambahnya lagi.

Jelas Ismail, pihak majikan dinasihatkan untuk tidak mengambil tindakan kepada pekerja berkenaan yang tidak dapat datang bekerja ekoran sekatan yang dibuat.

Sementara itu, rumah-rumah ibadat termasuk surau dan masjid tidak dibenarkan beroperasi.

“(Ia) beserta institusi pendidikan seperti sekolah, tadika, taska, pusat tuisyen dan semua yang berkaitan tidak dibenarkan beroperasi dan mesti ditutup sepanjang tempoh PKPD.

“Bagi premis perniagaan, hanya premis yang menyediakan perkhidmatan perlu sahaja yang dibenarkan, seperti kedai makan, restoran, kedai makan dan sebagainya.

“Kebenaran hanya untuk take away (bungkus) dan bawa pulang sahaja (dan) beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam sahaja,” katanya lagi.

Bagaimanapun, premis lain seperti kilang, pasar malam dan pasar tani juga tidak dibenarkan, kecuali pasar pagi.

Tambah Ismail lagi, klinik dan hospital dibenarkan beroperasi selama 24 jam, manakala farmasi pula hanya dibenarkan dari 8 pagi hingga 8 malam.

Dalam masa sama, stesen minyak dan kedai runcit turut dibenarkan hanya dari 8 pagi hingga 8 malam sahaja.

Aisyah Badrul

Shes got a 70s head but shes a modern lover