Categories: Kes MahkamahTrending

Rindukan Anak, Isteri Dakwa Safee Sali Bawa Keluar Dua Anak Sejak Februari

Isteri kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan Safee Sali iaitu Fitria Elfina Maharip mendedahkan bahawa hampir sebulan tidak dapat berkomunikasi dengan anak-anaknya.

Malah, dia juga memaklumkan bahawa tidak mengetahui keberadaan dua anaknya itu, Shania Safina dan Shanika Salsabila selepas didakwa dibawa oleh Safee sejak 6 Februari lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Fitria menyatakan dia hanya mengetahui tentang keadaan anaknya menerusi sepucuk surat yang ditinggalkan dalam kereta bekas pemain bola tersebut pada 28 Februari lalu.

“Dia (Safee) ada datang beberapa minggu lalu ambil barang anak-anak, tetapi dia keluar ikut pintu belakang dan naik kenderaan e-hailing.

“Keretanya ditinggalkan di rumah saya, jadi saya ambil kunci pendua dan nampak surat yang menyatakan anak-anak rindukan saya.

“Dalam surat itu juga menyatakan, anak-anak di sana tak selesa kerana ada orang yang marah,” katanya.

Susulan itu, Fitria tekad untuk memfailkan tuntutan hak penjagaan anak selepas terputus hubungan sejak sebulan lalu.

Wanita itu hadir ke mahkamah ditemani peguamnya, Amir Syazwan Ahmad Fauzi untuk menjalani proses sulh kes tuntutan hak penjagaan anak dengan Safee.

“Saya nak berjuang untuk anak-anak saya sebab 100 peratus memang saya jaga anak.

“Saya tak pernah berpisah dengan anak-anak, ini kali pertama kami berpisah,” ujarnya lagi.

Namun begitu, kongsi peguam syarie mewakili Fitria, proses sulh hari ini tidak berjaya kerana kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat.

“Hari ini (berlangsung) proses sulk untuk kes hadanah hak penjagaan anak, malangnya sulk tidak berjaya.

“Kita akan terus ke sebutan semula kes tuntutan hak penjagaan anak yang akan berlangsung 9 Mei ini,” kata Amir Syazwan.

Dalam pada itu, sebutan bagi pengesahan lafaz cerai pasangan tersebut bakal berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor pada pagi Selasa.

Untuk rekod, Fitria dan Safee berkahwin pada 21 Disember 2013 dan dikurniakan dua orang anak perempuan.

Manakala, menerusi perkahwinan pertama Safee bersama Sabarina Yusof turut dikurniakan dua anak perempuan sebelum sah bercerai pada 2 April 2012.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari