Categories: Trending

Sebulan Simpan Rahsia Perkahwinan, Uqasha Senrose & Kamal Adli Bakal Berbulan Madu Di Makkah

Hos Lagu Cinta Kita 3, Kamal Adli, 35, selamat bernikah dengan pasangannya, Uqasha Senrose, 29, dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang pada 5 November lalu.

Berkongsi berita itu hari ini menerusi sebuah majlis pengumuman, pasangan ini mengakui tiada niat untuk menyembunyikan pernikahan mereka.

“Tiada niat merahsiakan pernikahan, sebaliknya kami menyegerakan perkara wajib yang hanya membabitkan keluarga dan rakan terdekat berikutan situasi semasa pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah selepas beberapa kali tertangguh sejak Jun lalu iaitu tarikh sepatutnya majlis pernikahan dan resepsi dirancang, akhirnya kami selamat disatukan sebagai suami isteri.

“Berikutan keadaan semasa dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan, kami terpaksa mengehadkan jumlah tetamu pada majlis pernikahan.

“Pada masa sama, kami juga mahu menjaga hati keluarga dan sanak saudara yang sememangnya ramai kerana hanya dapat menghimpunkan mereka semua di acara persandingan nanti.

“Apapun, kami hanya menghormati permintaan ibu bapa selain bersyukur kerana segala urusan ke arah membina masjid ini dipermudahkan,” kata Uqasha kepada Harian Metro.

Dalam majlis terbabit, Kamal sah bergelar suami kepada Uqasha dengan dua kali lafaz dan menyerahkan wang tunai RM22.50 sebagai mas kahwin.

Ketika ditanya mengenai bulan madu, pasangan ini bakal mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah pada penghujung Disember ini.

“Kami rancang mahu mengerjakan umrah pada 23 Disember ini bersama-sama kerana ia juga menjadi impian saya selepas berniat untuk kembali lagi ke Makkah dengan suami pula.

“Ketika umrah untuk kali kedua dulu, Kamal dan saya masih dalam proses mengenali hati budi. Jadi saya doa, kalau ada jodoh kami, permudahkanlah dan mahu ke Makkah lagi.

“Jika jodoh panjang, saya mahu kembali semula ke sana bersama pasangan (suami). Insya-Allah, Kamal pun belum pernah ke Makkah dan saya mahu jadi orang pertama membawanya ke Tanah Suci,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Padin