Categories: Trending

Selebriti Lelaki Bujang Ambil Anak Angkat Perempuan Didakwa Menyalahi Undang-Undang Cetus Tanda Tanya – “Dia Melalui Proses Apa?”

Seorang selebriti lelaki bujang didakwa menyalahi undang-undang Malaysia kerana mengambil anak angkat perempuan sekali gus mencetuskan tanda tanya tentang proses yang dilaluinya.

Perkara itu telah didedahkan oleh pengasas dan pengerusi Persatuan Kebajikan Anak Kami, Siti Nursuraya Ali ketika membahaskan topik tersebut di Kool101 bersama Haiza dan Muaz, sebentar tadi.

Pada awalnya, Haiza telah berkongsi rasa ingin tahunya tentang sikap sesetengah selebriti yang memanipulasi anak angkat yang diambil.

Terpanggil untuk menjawab persoalan itu, Suraya terus mendedahkan bahawa ada seorang selebriti lelaki bujang  mengambil anak angkat perempuan sedangkan ia tidak dibenarkan oleh undang-undang atas faktor keselamatan.

Menjawab kemusykilan itu, pengasas persatuan kebajikan itu turut mempersoalkan proses yang dilalui oleh selebriti terbabit.

“Saya sendiri pernah membuat beberapa laporan kepada Bahagian Kanak-Kanak di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana ada saya lihat selebriti lelaki bujang mengambil anak angkat perempuan.

“Undang-undang Malaysia benda tu sebenarnya tidak dibenarkan atas faktor keselamatan. Jadi macam mana budak ni boleh sampai dekat selebriti bujang ni? Siapa yang benarkan? Dia melalui proses apa?

“Adakah pihak JKM atau pihak JPN yang terlepas pandang? Ataupun orang ni dia ambil anak angkat orang lain? Anak itu didaftarkan kepada ibu angkat lain? tetapi yang si bujang ni mengaku anak dia?,” katanya.

Bukan itu sahaja, Suraya turut mendedahkan ada juga selebriti yang sering menggunakan anak angkat mereka sebagai content diambil semula oleh pihak JKM.

“Jadi benda-benda itu ada kes yang saya dapat tahu anak dia diambil balik oleh JKM sebab walaupun dia dah berkahwin tapi dia guna anak tu untuk raih populariti di media sosial. Kami buat laporan memang terbukti,” jelasnya.

Fatin Nurain