Categories: Trending

Single Baru Simfoni bersama Ezad Lazim Sentuh Isu Ujian Ketika Pandemik Covid-19

Demi meneruskan langkah dalam industri muzik dan dakwah tanah air, kumpulan nasyid Simfoni kini mempertaruhkan single terbaru berjudul Terus hasil ciptaan Fadzli Far East sebagai pencipta lagu dan Ito Lara sebagai penulis lirik.

Dianggotai oleh Imtiaz, Anas, Ifham, Hazran dan Firdaus, susunan muzik bagi lagu ini disusun oleh Amybong manakala penerbit oleh Fadzli Far East dan Wan Sallehuddin.

“Untuk Single kali ini, kami turut berkolaborasi dengan penyanyi legenda dari band popular 90-an iaitu Ezad Lazim dari kumpulan Exists.

“Kami memilih Ezad sebagai rakan duet kerana lontaran vokal dan aura dimiliki Ezad dilihat mampu memberi rasa dan variasi vokal yang menarik dalam penyampaian lagu yang bergenre pop seperti ini,” jawab Imtiaz selaku ketua kumpulan.

Tambah Simfoni, Terus merupakan sebuah lagu yang munyuntik semangat kepada pendengar supaya bangkit dan tidak mudah mengalah dalam apa jua situasi sukar yang dilalui dalam hidup.

“Lagu Terus juga sebenarnya merupakan hadiah dari Fadzli Far East kepada saya atas kemenangan saya menerusi pertandingan nyanyian semula lagu Fadzli Far East berjudul ‘Carilah Aku di Neraka’ pada tahun 2019 dan saya memilih untuk menyanyikan lagu ini bersama kumpulan saya iaitu Simfoni.

“Setiap cabaran yang dilalui harus dijadikan penguat untuk bangkit dan tidak berhenti dalam usaha memperbaiki diri dari segala aspek samaada kerjaya, pembangunan diri, keluarga, pendidikan dan sebagainya,” kata Ifham.

Video muzik lagu Terus boleh ditonton di laman Youtube rasmi Inteam Records dan boleh didengari di semua platform digital menerusi permintaan lagu di stesen-stesen radio yang ada.

Padin