Categories: Trending

Sokong Jenama Lokal, Yuna Bantu Usahawan Tempatan

Penyanyi Malaysia yang menempa nama di persada antarabangsa, Yuna dikenali sebagai penyokong tegar jenama tempatan.

Biarpun membina kerjaya di luar negara, Yuna tidak lupa untuk memberikan sokongan kepada usahawan lokal.

“Ramai yang tahu saya memang gemarkan jenama-jenama tempatan sama ada kecil atau besar sejak dari dahulu lagi. Saya akan kongsikannya dengan keluarga dan peminat, tapi saya rasa cara itu masih belum lagi boleh dianggap menyeluruh.

“Dewasa ini, banyak usahawan tempatan mengalami kekangan kewangan dalam memastikan perniagaan mereka terus berkembang,” katanya.

Menjadi wajah rasmi myIOU yang dikelokakan oleh IOUpay (ASX:IOU), sebuah syarikat fintech dan kewangan digital, Yuna menzahirkan sokongannya kepada jenama tempatan menerusi cara tersendiri.

myIOU adalah servis perkhidmatan kewangan terbaru yang menawarkan khidmat Beli Sekarang Bayar Kemudian (Buy Now Pay Later) sesuai dan mudah untuk para peniaga dan usahawan atas talian dengan adanya pilihan pembayaran fleksibel yang pasti akan menarik ramai pelanggan dan pengguna.

“Saya amat menyokong perniagaan anak tempatan dan saya sudah lama berhasrat mahu memainkan peranan yang lebih besar dari sebelum ini.

“Saya mahu lihat lebih banyak perniagaan anak tempatan mengambil peluang keemasan ini turut serta menggunakan kemudahan perniagaan atas talian melalui myIOU.

“Ini akan dapat membantu lebih banyak usahawan-usahawan untuk terus berkembang dalam menjana pendapat semasa dan selepas musim pandemik ini,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terkini, Yuna kembali rancak merencana pembikinan album baharu yang bakal muncul tidak lama lagi.

“Saya akan kembali ke Los Angeles dan meneruskan kerja-kerja pembikinan album terbaru saya. Insya-Allah, ia akan dilancarkan pada hujung tahun ini.

“Saya juga akan cuba untuk berulang-alik ke Malaysia demi memastikan kesejahteraan keluarga saya sentiasa terpelihara,” katanya lagi.

Padin