Categories: Gaya Hidup

Untungnya… 30 Atlet Malaysia Dapat Makan Percuma Seumur Hidup Di Teh Tarik Place!

Bagi menghargai jasa 30 orang atlet yang mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Teh Tarik Place mengumumkan untuk memberikan ganjaran seumur hidup secara percuma berupa teh tarik dan produk makanan kepada semua wira negara ini!

Teh Tarik Place yang mempunyai lebih 14 cawangan di seluruh negara dan dua di Brunei menyatakan sumbangan mereka itu selain mengharapkan semua rakyat Malaysia terus menyatakan sokongan kepada atlet negara yang sudah menaikkan nama negara di persada dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Craveat International, Lee Yew Jin berkata mereka sangat menghormati kesungguhan altet yang berusaha untuk mengharumkan nama negara.

“Kesungguhan dan disiplin diperlukan untuk menguasainya (pertandingan) dan prestasi ditunjukkan atlet negara adalah pencapaian besar.

“Atas sebab itu, sebagai tanda penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kerana menaikkan nama negara, kami ingin mengumumkan pemberian seumur hidup berupa teh tarik dan produk makanan kepada semua atlet Olimpik yang mewakili Malaysia,” katanya.

Teh Tarik Place adalah anak syarikat kepada Craveat International dan rakan francais rasmi untuk rangkaian makanan kasual antarabangsa, TGI Fridays di Malaysia dan di China.

Craveat International juga adalah sebahagian daripada kumpulan syarikat yang dimiliki oleh Techna-X Berhad, sebuah syarikat awam yang tersenarai dan diperdagangkan di dalam Bursa Malaysia sejak tahun 2007.

“Kami ingin menyampaikan satu pesanan kepada semua atlet Malaysia, walaupun ada yang meragui, kami tetap mengakui pengorbanan, semangat, dedikasi dan kesukanan yang ditunjukkan oleh atlet di sepanjang Sukan Olimpik ini berjalan,” kata Pengerusi Eksekutif Techna-X, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar.

Di Olimpik Tokyo 2020, kontinjen negara membawa pulang satu pingat perak dalam acara keirin berbasikal trek menerusi Datuk Azizulhasni Awang manakala gangsa diraih beregu badminton lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.

Padin