Categories: FeaturedTrending

Tempoh pendaftaran kelahiran, kematian dilanjutkan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melanjutkan tempoh pendaftaran bagi urusan mendaftarkan kelahiran bayi baru lahir dan kematian sehingga 90 hari selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perlanjutan tempoh itu bagi membolehkan orang ramai membuat pendaftaran berkenaan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang ditutup sepanjang PKP dikuatkuasakan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika sidang media pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, di Putrajaya, hari ini. Foto: NSTP/Harry Salzman.

“Pendaftaran kelahiran dan kematian tidak dapat dilakukan kerana PKP yang diperkenalkan, oleh itu pihak KDN membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh pendaftaran selama 90 hari selepas tempoh PKP ditamatkan.

“Selain itu, KDN juga akan memansuhkan penaliti yang sepatutnya dikenakan terhadap mana-mana individu yang lewat membuat pendaftaran sama ada kelahiran mahupun kematian,” katanya pada sidang media berkenaan pelaksanaan PKP yang berlangsung di Putrajaya, di sini , hari ini.

Pendaftaran kelahiran atau kematian boleh dilakukan dalam tempoh 90 hari selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan – gambar hiasan. Foto: NSTP/Intan Nur Eliana Zakaria.

Pasangan yang tidak mendaftar kelahiran dan surat beranak anak mereka dalam tempoh 60 hari perlu membayar denda RM1,000, selepas pindaan Akta 299 Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat yang diluluskan Dewan Rakyat pada 2016.

Sebelum itu, denda pendaftaran lewat kelahiran yang hanya RM50 menyebabkan ramai pasangan mengambil sikap sambalewa sehingga ada yang tidak mendaftar kelahiran anak sehingga bertahun lamanya.

Bagi individu yang kehilangan kad pengenalan, mereka boleh membuat janji temu dengan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara di daerah masing-masing – gambar hiasan. Foto: NSTP/Intan Nur Eliana Zakaria.

Ismail Sabri berkata, JPN juga bersedia untuk mengadakan sesi janji temu bagi membantu orang ramai yang kehilangan kad pengenalan sepanjang tempoh PKP ini terutama yang perlu menggunakan kad berkenaan bagi tujuan tertentu.

“Ramai yang bertanya mengenai kes kehilangan kad pengenalan terutama jika ada keperluan khusus, sebagai contoh untuk mendapatkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Oleh itu, Kerajaan bersetuju supaya mereka boleh menghubungi JPN di daerah masing-masing untuk mengganti kad pengenalan menerusi janji temu dengan pegawai JPN.

“Bagi yang tidak mempunyai keperluan segera, boleh menunggu sehingga PKP ditamatkan. Rakyat Malaysia yang berada di luar negara juga akan diberikan tempoh yang sama iaitu 90 hari selepas tamat PKP di negara berkaitan menerusi pejabat kedutaan Malaysia atau sebagainya,” katanya

Shaidah Shafie