Categories: FeaturedGaya Hidup

Atiqah ajak masyarakat teroka misteri gua di Malaysia

Gua bukan destinasi menarik untuk dilawati orang kebanyakan, tetapi bagi pencinta alam sekitar atau peminat sukan lasak seperti mendaki, gua tentunya amat menarik perhatian untuk diteroka.

Begitu juga menjadi tumpuan penyelidik yang membuat pelbagai kajian mengenai ekosistem alam, habitat mahupun biodiversiti yang menjadi perumah kepada bermacam jenis flora dan fauna yang wujud di negara ini.

Dr Nur Atiqah menganggap gua dan hidupan di dalamnya sangat menarik untuk diteroka. Foto: Dr Nur Atiqah Abd Rahman.

Menyedari kepentingan dan fungsi gua yang sangat menarik itu, Dr Nur Atiqah Abd Rahman, 32, sanggup keluar masuk gua di Batu Caves, Gombak, demi memberi kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan gua terhadap ekologi alam sekitar.

Beliau yang juga Setiausaha Persatuan Pemuliharaan Gua dan Kars Malaysia (MCKC) berkata, pelbagai ekspedisi dan kajian saintifik membabitkan gua dan hidupan di dalamnya dilakukan di Batu Caves.

“Walaupun kawasan berkenaan sempit serta terhad seperti di dalam mahupun di luar gua, kawasan ini mempunyai biodiversiti yang tinggi menjadi habitat kepada pelbagai spesies tumbuhan dan haiwan.

“Apabila terdapat sedikit gangguan di kawasan gua, ia akan memberi kesan kepada biodiversiti yang ada dan menyumbang kepada kepupusan spesies walaupun di satu gua atau bukit batu kapur yang kecil,” katanya ketika ditemui di Batu Caves, baru-baru ini.

Sekumpulan orang awam mendengar penerangan Dr Nur Atiqah mengenai biodiversiti gua ketika mengikuti eksplorasi gua di Batu Caves, baru-baru ini. Foto: See Ming Chong.

Di Malaysia terdapat pelbagai gua yang menjadi pusat penyelidikan, malah ada antaranya seperti Gua Niah di Sarawak dan Gua Kelam di Perlis yang menjadi tarikan pelancongan sama ada tempatan mahupun antarabangsa.

Bagi orang awam yang berminat menerokai gua, selain dapat menghayati keindahan ruang yang terhad itu, mereka juga boleh mengutip ilmu mengenai flora, fauna, fosil dan pembentukkan pelbagai formasi aneh yang boleh dilihat di dalam gua.

Dr Nur Atiqah (dua dari kiri) bersama beberapa penyelidik yang sama-sama membuat kajian mengenai gua. Foto: Dr Nur Atiqah Abd Rahman.

“Di dalam gua, selain hidupan invertebrata seperti labah-labah dan vertebrata iaitu kelawar, ada banyak formasi menarik seperti stalaktit dan stalagmit dan jika bernasib baik, boleh lihat langsir gua dan kolam gua juga.

“Bagaimanapun, setiap aktiviti penerokaan akan disertai juru pandu mahir dan terlatih sahaja kerana gua adalah kawasan berisiko meskipun menarik,” katanya mengakhiri perbualan.

Shaidah Shafie