Categories: FeaturedOh Lawa

Sumber vitamin D daripada sinar matahari itu penting. Berjemur lah sekejap dekat balkoni walaupun PKP!

Berjemur di bawah sinaran matahari untuk tempoh yang lama boleh mendatangkan kemudaratan, misalnya selaran akibat kulit terbakar, sakit mata, kulit semakin tua, perubahan kulit, strok haba dan barah kulit.

Akan tetapi jika kulit tidak mendapatkan cahaya matahari yang mencukupi juga tidak baik untuk kesihatan kulit.

Penulis percaya, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin ada yang sudah lama tidak kena cahaya matahari kerana terperap di rumah lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di pangsapuri, kondomunium atau flat. Termasuklah pemilik rumah teres yang punya pembantu untuk membersihkan laman.

Setiap hari sibuk dengan urusan dalam rumah, sampaikan tidak terasa siang berganti malam begitu pantas.

Perkongsian ini penting untuk diketahui anda. Anda tidak perlu berjemur pun sebenarnya, sebaliknya cukup untuk mendedahkan diri pada sinaran matahari kurang 15 minit setiap hari.

Menurut Agensi Penyelidikan Kanser Pertubuhan Kesihatan Sedunia (IARC), masa terbaik adalah sekitar jam 10 pagi hingga 3 petang, kerana pada waktu itu matahari membekalkan vitamin D yang baik untuk kulit, sekali gus dapat membantu anda meningkatkan imunisasi, memperoleh kulit wajah yang cantik dan menawan.

Sememangnya ada perbezaan pendapat mengenai waktu paling sesuai untuk mendapatkan kebaikan sinar matahari, ada yang menyebut di kala pagi sahaja dan sebaliknya pula menyarankan di antara jam 10 pagi hingga 3 petang.

Foto: AsmaraKu

Bagi menyokong waktu yang dinyatakan ini, fakta kukuh adalah jangka masa lima jam itu mengurangkan kadar risiko kanser kulit jenis cutaneous malignant melanoma (CMM).

Tempoh yang dinyatakan ini mampu meningkatkan penghasilan vitamin D dan ia dapat bertahan dua kali ganda dalam darah berbanding yang diperoleh daripada makanan tambahan (supplement) atau makanan.

Jika tidak mampu melakukannya setiap hari, cukup sekadar diamalkan dua hingga tiga kali seminggu. Memadai pada wajah dan kulit tangan sahaja.

Kalau malas sangat hendak ke taman, berjemurlah seketika di balkoni rumah. Itu sudah cukup membantu!

Tip tambahan, anda tidak perlu memakai krim pelindung matahari sewaktu berjemur manja. Hanya sesudah sesi berkenaan barulah dioles krim berkenaan pada wajah dan badan.

Semoga bermanfaat!

Yanie Baharom