Categories: Trending

Terhempas dua kali, Malaysia gantung serta-merta operasi Boeing 737 MAX 8

Susulan tragedi yang menimpa pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas ketika dalam penerbangan dari Addis Ababa ke Nairobi Ahad lalu yang mengorbankan kesemua 157 penumpang dan kru, pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta merta menggantung semua penerbangan keluar masuk membabitkan Boeing 737 MAX 8 dari negara ini.

Keputusan berkuat kuasa serta merta itu dilakukan memandangkan nahas ini adalah tragedi kedua melibatkan pesawat jenis sama dalam tempoh lima bulan selepas pesawat syarikat penerbangan tambang murah Lion Air terhempas Oktober lalu mengorbankan kesemua 189 penumpang dan anak kapalnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Ahmad Nizar Zolfakar dalam satu kenyataan Selasa lalu, penggantungan itu kekal sehingga notis baru dileluarkan. “Untuk Malaysia, kami mengesahkan bahawa tiada pesawat negara ini yang menggunakan Boeing 737 MAX 8.

Foto: The Drive

“CAAM dengan serta-merta menggantung operasi pesawat Boeing 737 MAX 8 keluar atau masuk Malaysia dan juga transit ke Malaysia sehingga notis berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan media semalam. 

Terdahulu, Malaysia Airlines (MAS) dalam kenyataannya memaklumkan syarikat berkenaan tidak menggunakan pesawat jenis 737 Max 8.

MAS dalam kenyataannya juga menegaskan pihaknya telah meminta maklumat teknikal daripada Boeing berhubung penghantaran pesawatnya pada 2020.

 

Yanie Baharom