11 Kes Positif COVID-19 Di Parlimen Semalam

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 11 kes positif Covid-19 telah dikesan hasil pemeriksaan ke atas 1,183 individu yang hadir di Parlimen sepanjang tempoh Sidang Mesyuarat Khas Parlimen semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sembilan daripada kes itu dikesan melalui kit ujian kendiri RTK Antigen (Ag) air liur yang dilaksanakan petang semalam.

Katanya, pelaksanaan ujian kendiri itu dilakukan susalan pengesanan dua kes positif yang dikesan di dalam bangunan berkenaan.

“Pada 29 Julai, pukul 12.30 tengah hari, KKM dimaklumkan mengenai dua kes positif Covid-19 yang hadir ke Parlimen.

“Kes pertama adalah seorang petugas yang hadir ke Parlimen pada Isnin sehingga Rabu lalu dan dilaporkan positif Covid-19 semalam selepas melalui ujian pengesahan RT PCR yang dijalankan sendiri di sebuah fasiliti kesihatan kerana mengalami gejala batuk dan selesema.

“Bagi kes kedua pula ia dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi semalam menggunakan ujian kendiri RTK Ag air liur kerana mengalami gejala batuk,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Noor Hisham, siasatan mendapati kedua-dua kes itu tiada kaitan dengan kes positif yang dikesan dalam saringan petugas Parlimen yang dijalankan tiga hari sebelum Sidang Mesyuarat Khas Parlimen bermula.

Katanya, kedua-dua kes berkenaan juga negatif Covid-19 apabila saringan dilakukan ke atas mereka sebelum bertugas di Parlimen.

“Penilaian risiko berdasarkan maklumat siasatan awal serta sejarah pergerakan didapati kes dikhuatiri berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa tempoh Sidang Mesyuarat Khas Parlimen.

“Sehubungan itu, KKM menasihatkan semua yang hadir dan berada di Parlimen bermula pada 26 Julai untuk menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva,” katanya.

Attiqah Mohd

""Above all, she is the girl who 'feels' things, who has hung on to the freshness and pain of adolescence, the girl ever wounded, ever young.”